Sektor pekerjaan dilonggarkan, 11 jenis perniagaan dibenar operasi

60

15 SEPT: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik, hari ini, bersetuju memberi beberapa kelonggaran baharu untuk sektor pekerjaan dan ekonomi, termasuk bagi negeri dalam Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa Jumaat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu memaklumkan bagi negeri dalam Fasa 2 PPN, semua pejabat swasta dibenarkan beroperasi membabitkan kapasiti 60 peratus pekerja sekiranya 40 peratus pekerja sudah lengkap divaksin.

“Seterusnya, kapasiti 80 peratus pekerja sekiranya 60 peratus pekerja sudah lengkap divaksin.

“Kapasiti 100 peratus pekerja pula jika 80 peratus pekerja lengkap divaksin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, kenderaan pekerja dengan penumpang lengkap vaksin dibenarkan dengan 100 peratus kapasiti kenderaan.

ISMAIL SABRI

Sementara itu, kebenaran operasi terhadap 11 jenis perniagaan di bawah sektor pekerjaan dan ekonomi dengan syarat vaksin ditetapkan di negeri Fasa 1 PPN bermula Jumaat ini.

Ismail Sabri berkata kebenaran itu membabitkan operasi kedai barang dan perkhidmatan fotografi, kedai barangan terpakai; kedai bunga atau nurseri; kedai kraf tangan dan cenderahati.

Turut dibenarkan kedai antik; kedai alat permainan; kedai permaidani; kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif; kedai outdoor termasuk peralatan perkhemahan, dan memancing; kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi serta kedai tembakau termasuk vape dan rokok elektronik.

Selain itu, kerajaan juga mengumumkan kebenaran operasi bagi pembekalan mineral dan bahan batuan termasuk pasir serta pergerakan dari tenemen mineral kuari atau tapak pengorekan ke premis atau tapak projek pembinaan infrastruktur awam utama.

Selain tu, kerja pembinaan bangunan serta premis industri dan perkhidmatan juga dibenarkan.

Turut mendapat kebenaran adalah penjagaan dan penyelenggaraan di atas tenemen mineral, kuari dan tapak pengorekan serta di premis Lesen Mineral dan Lesen Memproses Mineral bagi tujuan keselamatan (safety and security) untuk mengelakkan risiko kemalangan.

Selain itu, pengoperasian tenemen, mineral dan tapak pengorekan bagi tujuan penghasilan mineral dan bahan batuan termasuk pasir.

Pengeksportan mineral dan bahan batuan termasuk pasir sungai ke luar negara dan perladangan berasaskan kayu dan kenaf juga dibenarkan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.