Pelantikan Muhyiddin Sebagai Pengerusi MPN Keputusan Tepat

28

15 SEPT: Pelantikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara adalah amat bertepatan dalam meneruskan agenda pemulihan negara yang disusun pelaksanaannya sebelum ini.

Berikutan itu, Ahli Parlimen GPS-Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin atas usaha menangani pandemik COVID-19 semasa menjadi Perdana Menteri, sebelum ini.

“Kita masih belum berjaya menangani COVID-19 namun saya yakin usaha berterusan dalam meningkatkan kadar vaksinasi akan membantu dalam menurunkan kes penularan pandemik berkenaan secara berperingkat.

“Malah, sejumlah peruntukan besar sudah diberikan kepada Kementerian Kesihatan bagi mengawal selia pengurusan pandemik COVID-19.

“Tahniah kepada barisan hadapan kesihatan dan keselamatan dalam memastikan jentera kerajaan sentiasa bersiapsiaga,” katanya ketika berucap membahaskan titah diraja Yang di-Pertuan Agong di sini hari ini.

Dalam pada itu Wilson juga menagih simpati Menteri Kesihatan baharu iaitu Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin supaya lebih prihatin dengan pemasalahan masyarakat luar bandar terutama di Hulu Rejang.

Wilson juga meminta KKM agar memberikan peruntukan tambahan bagi melakukan proses pembesaran Hospital Kapit.

“Untuk makluman YB Hospital Kapit tidak mampu lagi menampung pertambahan pesakit dari hari ke hari. Justeru saya mohon KKM akan memberikan peruntukan tambahan bagi membolehkan proses pembesaran hospital berkenaan dilakukan.

“Justeru itu, saya mencadangkan supaya KKM supaya membina sebuah hospital atau klinik kesihatan lebih besar lagi di Sungai Asap atau di Puyang di DUN Pelaga.

“KKM juga perlu menaik taraf dan membesarkan beberapa klinik kesihatan sedia ada di Parlimen Hulu Rajang dengan kadar segera,” katanya.

Dalam pada itu, Wilson juga berharap Menteri Pembangunan Luar Bandar baharu dapat mempercepatkan pelaksanaan projek menaik taraf  jalan balak di luar bandar terutama di kawasan Parlimen Hulu Rajang.

“Rakyat di kawasan saya bukannya meminta bangunan pencakar langit hanya pembinaan jalan raya baik. Semoga perkara ini menjadi agenda utama Menteri Pembangunan Luar Bandar baharu.

“Saya juga ini mencadangkan kepada Kementerian Kewangan mengadakan perbincangan dengan pihak bank terutama Agro Bank atau bank lain untuk membuka banyak cawangan bagi menampung keperluan penduduk di Parlimen terbabit,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.