MIHAS rekod jualan RM1.63 bilion

11

15 SEPT: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2021 merekodkan jualan keseluruhan RM1.6 bilion setakat ini yang turut disumbangkan menerusi jualan Program Sumber Antarabangsa (INSP).

INSP merupakan salah satu komponen utama MIHAS bagi program padanan perniagaan ke perniagaan (B2B) untuk pengeksport Malaysia yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan 46 pejabatnya di seluruh dunia sejak April tahun ini menjelang MIHAS 2021.

Edisi ke-17 MIHAS yang dianjurkan secara maya, terbukti sekali lagi sebagai platform penting bagi peserta halal global berkumpul dan berurus niaga.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Mohd Mustafa Abdul Aziz, berkata pempamer Malaysia juga mencatatkan prestasi cemerlang apabila melaporkan jualan berjumlah RM341.1 juta dalam masa empat hari pameran secara maya.

“Pembinaan peluang pasaran bagi peserta pasaran halal domestik adalah sebahagian usaha MATRADE menyokong pemulihan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Pameran halal perdana itu membabitkan 549 pempamer telah menerima 8,500 pengunjung maya terdiri daripada syarikat tempatan dan antarabangsa, menjana jualan keseluruhan RM985.3 juta dalam masa empat hari.

MIHAS 2021 dihoskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta dihoskan MATRADE bermula 9 September lalu dan akan berakhir 31 Disember depan.

Produk dan sektor yang mendapat permintaan tinggi pembeli begitu jelas dicerminkan oleh 12 sektor yang dipromosikan MIHAS tahun ini iaitu makanan halal, pendidikan, farmaseutikal, perkhidmatan dan pengupaya, francais, fesyen sederhana, kewangan Islam, kosmetik halal, media dan rekreasi, pelancongan mesra Muslim, e-dagang serta teknologi makanan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.