Malaysia dijangka capai imuniti kelompok 10 hari lagi

48

15 SEPT: Biarpun, tampuk pemerintah negara kini sudah berubah namun kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah gagal untuk mengawal penularan wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Ahli Parlimen PAS-Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata ini terbukti apabila negara dijangka mencapai kadar imuniti kelompok dengan 80 peratus penduduk dewasa di Malaysia lengkap divaksinasi, dalam tempoh 10 hari akan datang.

“Kadar vaksinasi negara berada pada tahap momentum terbaik ketika ini dengan kadar populasi dewasa yang menerima vaksinasi lengkap dua dos menghampiri 80 peratus.

“Berdasarkan unjuran dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman web https://covidnow.moh.gov.my/ dalam masa 10 hari lagi Malaysia akan mencapai sasaran 80 peratus populasi dewasa akan lengkap divaksinasikan di negara ini.

CHE ABDULLAH

“Insya-Allah, Malaysia akan mencapai 100 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasikan dalam tempoh sebulan lagi.

“Ini adalah kejayaan penting dan sewajarnya diwar-warkan kepada semua rakyat di negara ini sekali gus memberikan harapan bahawa tidak lama lagi negara akan berada di fasa endemik dan prapendemik.

“Inilah kejayaan diimpikan oleh rakyat mesti pun di sebalik cemuhan golongan yang tidak pernah mahu mengerti bahawa negara sedang gagal,” katanya ketika menyokong perbahasan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong di Parlimen sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata naratif kerajaan gagal segaja ditimbulkan oleh PH yang sekadar mahu menangguk di air keruh sekali gus menjelaskan sikap mereka sendiri yang telah gagal memimpin negara untuk tempoh 22 bulan.

Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu menjelaskan bagaimana, mereka dengan yakin bercakap soal kegagalan kerajaan PN dalam kerajaan masih bertungkus-lumus menyising lengan dengan segala kudrat untuk membawa negara keluar daripada pandemik seperti dilihat hari ini.

“Sebenarnya pihak sama juga pernah mendakwa bahawa negara di ambang kebankrapan suatu ketika dulu dengan mendakwa hutang negara mencecah lebih RM1 trilion seterusnya dicanang di seluruh dunia.

“Namun, apabila kerajaan PN mengambil alih pemerintahan naratif berkenaan tidak timbul meskipun kerajaan berdepan dengan situasi pendemik COVID-19 yang bukan hanya menghimpit sistem kesihatan global dan negara, malah memberi kesan langsung kepada ekonomi negara,” katanya.  

Berikutan itu, beliau meminta rakyat supaya tidak melupakan jasa kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjaya memimpin negara dengan baik untuk menghadapi episod paling kritikal negara berhadapan dengan pandemik COVID-19, krisis politik dan ekonomi.

“Tahniah diucapkan kepada YB Pagoh dan barisan Kabinet Kerajaan PN di atas pencapaian yang hebat mengambil kira suasana yang sukar ini.

“Dalam keadaan sukar ini kerajaan PN terus komited menyediakan dasar dan polisi bagi memastikan negara dapat bertahan dalam situasi genting bermula Mac 2020 hingga Ogos 2021,” katanya.

Dalam mendepani strategi akhir atau ‘exit plan’ dalam kemelut pendemik, Che Abdullah berkata kerajaan PN melancarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN)  sebagai kunci utama bagi membuka pintu ke fasa endemik di mana rakyat perlu hidup bersama virus COVID-19.

“Fasa endemik adalah ‘solf landing’ sebelum kita semua kembali ke kehidupan di zaman prapendemik COVID-19, insya-Allah.

“Semoga Allah SWT segera mengangkat wabak COVID-19 daripada bumi Malaysia. Beberapa strategi sudah dirangka mengikut lunas perundangan seperti program saringan besar-besaran yang dilaksanakan bagi memastikan proses pengesanan dan pengasingan dilakukan secara terancang.

“Strategi utama kerajaan dalam tempoh ini tertumpu kepada proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Dalam soal vaksinasi di Malaysia kredit sewajarnya diberikan kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, yang bertungkus-lumus dari awal bagi memastikan program vaksinasi negara berjalan lancar,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.