Kemunculan Azalina jalankan tugas timbalan speaker cetus persoalan

336

15 SEPT: Datuk Seri Azalina Othman dilantik semula sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sementara berkuatkuasa mulai hari ini.

Pelantikan semula Ahli Parlimen BN-Pengerang itu bagaimanapun menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat kerana tiada notis awal dikeluarkan berhubung perkara tersebut.

Kemunculan Azalina ketika Ahli Parlimen BN-Jempol Datuk Salim Sharif sedang membahaskan usul titah diraja Yang di-Pertuan Agong menyebabkan suasana Dewan Rakyat agak kecoh berikutan ahli Parlimen tidak menerima sebarang notis mengenai pelantikan sementara berkenaan.

Bagaimanapun, Azalina menjelaskan bahawa beliau diminta oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengikut Peraturan Mesyuarat 7(3) untuk mempengerusikan Mesyuarat Dewan Rakyat, sementara waktu sahaja.

“Pelantikan saya sebagai Timbalan Speaker hanya bersifat sementara seperti ‘nikah mut’ah’ dan hanya sekejap sahaja.

“Saya rasa Isnin atau Selasa depan mungkin sudah ada orang lain akan dilantik sebagai Timbalan Speaker baharu,” kata Azalina yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun menjadi peguam di mahkamah syariah, sebelum terjun ke arena politik tanah air dengan menjadi Ketua Puteri UMNO.

Terdahulu, Ahli Parlimen PH-Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bangun meminta penjelasan mengenai pelantikan semula Azalina secara mengejut berkenaan.

“Saya terperanjat apabila pagi tadi melihat Tuan Speaker (Azalina) berada di tempat duduk dikhaskan kepada Ahli Parlimen penyokong kerajaan tetapi tiba-tiba petang ini mempengerusikan mesyuarat ini.

“Saya tiada masalah jika YB Pengerang mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat, cuma mempertikaikan dengan prosedur, adakah tindakan ini betul?

“Sedangkan kita sedang bermesyuarat membahaskan titah diraja dan tiada pemakluman daripada Yang Dipertua Dewan mengenai pelantikan penggantian yang begitu mudah? Adakah peraturan mesyuarat diguna pakai dengan betulnya?” katanya ketika mencelah.

Perkara berkenaan juga turut dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen PH-Bayan Baru Sim Tze Tzin yang menegaskan keputusan untuk menunda pelantikan Timbalan Speaker baru itu adalah tidak betul kerana tugas berat terpaksa digalas Speaker dan Timbalannya di sidang Parlimen sehingga akhir Disember ini.

Justeru, Tze Tzin berpandangan memang ada keperluan untuk melantik Timbalan Speaker baharu selepas Azalina meletakkan jawatannya bulan lalu.

“Saya kecewa kerana YB Pengerang (Azalina) sudah meletakkan jawatan kerana saya rasa YB sangat layak menjadi Timbalan Speaker sehingga saya YB patut dilantik sebagai Speaker. Jadi kekosongan berkenaan perlu diisi secepat mungkin,” katanya

Get real time updates directly on you device, subscribe now.