Kapal peronda China berterusan ceroboh Laut China Selatan

20

15 SEPT: Indonesia berang dengan tindakan kapal peronda China yang menceroboh kawasan perairan Laut Natuna di negara itu menerusi perairan Vietnam.

CNN Indonesia melaporkan, pihak berkuasa mendapati ribuan kapal milik China menceroboh kawasan perairan Laut China Selatan tanpa dapat dikesan radar.

Bagaimanapun, Badan Keamanan Laut (BAKAMLA) berjaya mengesan perbuatan tersebut hasil rondaan dan pemerhatian dari udara.

Difahamkan, isu sempadan bertindih antara beberapa negara di Asia Tenggara selain kewujudan laluan laut bebas antarabangsa dimanfaatkan oleh kapal milik China untuk terus menceroboh Laut China Selatan.

Setiausaha BAKAMLA, S Irawan, berkata kapal milik China juga kadang-kadang menyertai kumpulan kapal milik Vietnam, sekali gus menyukarkan pengesanan.

“Kalau kita melihat di radar pengawasan atau memantau dari Pusat Komando dan Pengendalian (Puskodal), setakat hanya terdapat enam kapal Vietnam di wilayah bertindih termasuk kapal peronda milik China.

“Jika dilihat dengan mata kasar atau pemerhatian udara secara langsung, jumlah sebenar mencapai ratusan atau mungkin ribuan kapal berada di perairan ini,” katanya dalam perbicaraan dengan Suruhanjaya Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia.

Menurut beliau, kapal yang mengibarkan bendera Indonesia di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral turut menjadi sasaran kapal China, yang ada di antaranya dikendalikan kumpulan separa tentera serta membawa senjata.

“Malah, kapal pengawal pantai China masih mengganggu kerja-kerja pelantar kapal mengibarkan bendera Indonesia di bawah kementerian,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.