Kampung Paya Mengkuang, Temerloh kena PKPD, Jumaat ini

9

15 SEPT: Kampung Paya Mengkuang, Sanggang, Temerloh di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Jumaat ini hingga 30 September.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, dalam satu kenyataan, berkata keputusan pelaksanaan PKPD itu dibuat selepas meneliti pembentangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

Pada masa sama, beliau berkata, PKPD di Kampung Dumpiring Bawah, Ranau, Sabah yang sepatutnya tamat esok, dilanjutkan bermula Jumaat ini hingga 30 September.

“Prosedur operasi standard (SOP) semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Rodzi berkata, pelaksanaan PKPD di Kompleks Penjara Bentong termasuk kuartersnya di Pahang, ditamatkan hari ini, dua hari awal daripada tarikh asal iaitu pada 17 September.

Turut ditamatkan PKPD di beberapa lokaliti di Sabah, Sarawak dan Johor pada esok seperti yang dijadualkan.

Lokaliti terbabit adalah Perumahan Pekerja Ladang Mayvin 2, Telupid, Kampung Tagaroh di Kota Marudu, serta Kilang dan Kuarters di Kilang Papan Cargo Timber di Kampung Biah di Keningau Sabah; Kuarters pekerja Sri Datai Mining Sdn Bhd di Mukah, Sarawak dan Kampung Orang Asli Simpang Arang, Johor Bahru, Johor.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.