JPN laksana Program MEKAR untuk penduduk kawasan pendalaman

45

15 SEPT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaksanakan Program MEKAR bagi membolehkan penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak mendapatkan perkhidmatan pendaftaran kelahiran, kematian dan kad pengenalan.

Difahamkan, program berkenaan membantu proses membuat dokumen pengenalan diri tanpa perlu pergi ke Pejabat JPN yang agak jauh dari penempatan mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri,  Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata KDN juga mewujudkan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan bagi memastikan semua individu yang tidak memiliki sebarang pengenalan diri di Sarawak diberikan dokumen berkaitan.

“Kita juga sudah menukarkan Pasukan Petugas Khas (PTK) dengan Program Mekar di mana unit bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan turun padang untuk membantu penduduk di pedalaman mendapatkan dokumen pengenalan diri masing-masing.

Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said

“Kita juga mengalu-alukan kementerian lain termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) atau Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberikan data pemberian vaksin kepada KDN mengambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika menjawab soalan di sesi jawab lisan di Parlimen sebentar tadi.

Ismail berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Ahli Parlimen GPS-PBB Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, yang ingin tahu apakah tindakan proaktif diambil KDN bagi membantu rakyat tempatan luar bandar dan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri.

Lukanisman juga minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah tindakan proaktif Kerajaan terhadap maklumat
penerima vaksin yang tidak mempunyai kad pengenalan diri terutama sekali di Sarawak dan adakah Kerajaan akan mengambil tindakan mengenai isu individu tanpa pengenalan diri.

Lapan 8 inisiatif dilaksanakan bawah Program MEKAR ialah bas bergerak, program MyDaftar, program MyTentera, Unit Khas Bergerak (UKB) Sabah & Sarawak; mobile ehsan, pameran dan kaunter khidmat nasihat; program taklimat JPN serta kerjasama bersepadu bersama agensi lain.

Terdahulu, Ismail berkata KDN terpaksa mengimbangi antara keselamatan, kesihatan dan kedaulatan negara dalam  menggalakkan semua individu di negara ini untuk mendapatkan vaksinasi supaya mereka selamat daripada COVID-19.

“Sebab itulah walaupun ada pihak tertentu yang mahu memastikan semua individu sama ada mempunyai dokumen pengenalan diri atau tidak mendapatkan vaksinasi namun begitu kita menggalak mana-mana individu mempunyai kad pengenalan diri untuk kita mendaftarkan mereka menerusi peraturan sedia ada.

Antara langkah proaktif dilakukan KDN melalui JPN menerusi Program Mekar ialah unit bergerak ke pendalaman untuk mendaftarkan mana-mana individu belum mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

“Menerusi Ops Patuh kita melakukan pemeriksaan terhadap pemilik kad pengenalan dan dokumen terhadap PATI dan majikan bagi memastikan pekerja mereka mendapat vaksinasi.

“Bagi Sabah dan Sarawak kita mempunyai jawatankuasa tertentu yang belum mempunyai sebarang dokumen diri untuk dimurnikan menerusi program.

“Mana-mana pihak yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri boleh tampil ke hadapan bagi membolehkan kita membantu mereka mendapatkan vaksinasi,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.