Guru enggan vaksin akan diasing daripada murid

15

15 SEPT: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, menegaskan guru yang enggan menerima suntikan vaksin tanpa alasan kesihatan akan ditempatkan di kawasan khas di sekolah apabila sesi persekolahan secara bersemuka dibuka pada 3 Oktober ini.

Mohd Radzi berkata, kawasan khas bagi kumpulan guru terbabit akan diasingkan daripada warga pendidik yang sudah divaksinasi serta murid.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti jenis tindakan susulan yang boleh dikenakan ke atas kumpulan guru terbabit menerusi konteks peraturan dan tatacara perkhidmatan awam.

“Menerusi rekod KPM, kira-kira 2,500 guru dikenal pasti enggan divaksinasi tanpa alasan kesihatan. Angka ini selepas kita tolak jumlah guru yang belum boleh divaksin atas alasan kesihatan.

“Secara umumnya, mereka juga tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka di kelas, selain perlu membuat tugasan yang akan ditentukan kemudian.

Bagaimanapun, KPM belum membuat sebarang keputusan mengenai jenis tindakan terhadap guru anti vaksin,” kata pada sidang media bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin

Dalam perkembangan berkaitan, Hishamuddin berkata, keputusan pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka dibuat selepas mengambil kira aspek kebajikan lima juta murid di seluruh negara.

Berikutan itu Hishammuddin berkata keseluruhan murid datang daripada pelbagai latar belakang, selain sudah renggang dengan institusi sekolah secara bersemuka bagi tempoh yang agak lama sejak Mei tahun lepas .

“Keadaan berkenaan dikhuatiri akan memberi gambaran kepada murid bahawa mereka tidak akan kembali menjalani sesi persekolahan secara bersemuka.

“Pendekatan membuka sesi persekolahan secara bersemuka dan berperingkat sekurang-kurangnya memberi gambaran baharu selari peralihan ke fasa endemik seperti dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita boleh memilih tidak membuka sekolah dan ia jalan paling mudah. Namun, hakikatnya kita ada lima juta murid daripada pelbagai latar belakang dan renggang dengan sekolah untuk tempoh yang panjang mulai Mei lalu.

“Katakanlah jika kita ambil keputusan untuk menutup sekolah sehingga tahun depan, maka dalam pemikiran mereka (murid) persekolahan bersemuka tak berlangsung hingga 2022.

“Kita secara umumnya akan dapati murid melihat mereka tidak akan kembali bersekolah secara bersemuka selepas tidak boleh hadir ke sekolah mulai Mei lalu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.