Guna PBT Pastikan Penerima Bantuan Tidak Tercicir

18

15 SEPT: Kementerian Kewangan (MOT) perlu menggunakan khidmat pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan penerima yang layak menerima bantuan daripada kerajaan tidak tercicir.

Ahli Parlimen GPS Baram, Anyi Ngau berkata, ini perlu dilakukan kerana ketika ini masih ramai yang tercicir dan tidak mendapat bantuan walaupun tergolong dalam individu yang layak.

Menurut beliau, kerjasama ini diyakini akan dapat meningkatkan keberkesanan mekanisme penyaluran bantuan, supaya tujuan asal penyaluran bantuan dapat dirasai golongan yang layak.

“Saya sarankan agar MOT menggunakan pejabat daerah ataupun pejabat residen di Sarawak sebagai saluran dan medium bagi mengenal pasti mereka yang tercicir dan layak menerima bantuan daripada kerajaan.

“Saya yakin institusi ini boleh menjalankan tugas itu untuk mengenal pasti mereka yang tercicir kerana cara ini terbukti ketika program vaksinasi di mana kerajaan negeri Sarawak guna pejabat residen yang saya percaya kerana tindakan ini Sarawak berjaya mencapai imuniti kelompok.

“Kerajaan juga perlu melihat semula kerana kini ada golongan M40 yang sudah menjadi B40 di samping ada syarikat juga yang masih belum menerima bantuan walaupun mereka layak menerimanya. Justeru, saya mohon dan sarankan kerajaan mereka ini diberikan bantuan juga selaras dengan semangat keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di persidangan Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Anyi berkata kemudahan di Klinik Kesihatan di kawasan pendalaman yang tiada keperluan asas, perlu dinaik taraf bagi menampung pertambahan bilangan pesakit menghidap penyakit kronik.

“Seperti Klinik Kesihatan di Long Lama, Baram yang pernah dilanda hakisan tanah satu masa dulu sehingga ke hari ini belum dapat lagi digunakan disebabkan keadaan klinik yang tidak selamat.

“Justeru, saya mohon peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), sebuah hospital perlu dibina di Pekan Long Lama bagi meringankan lagi beban dan memberi kemudahan khidmat rakyat di kawasan Baram. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.