Bukit Bendera Diikfiraf Rizab Biosfera Oleh UNESCO

17

15 SEPT: Bukit Bendera, Pulau Pinang diiktiraf sebagai tapak rizab biosfera Malaysia yang ketiga selepas Tasik Chini, Pahang (2009) dan Banjaran Crocker, Sabah (2014) di bawah Program Man and the Biosphere (MAB), Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pengumuman itu telah dibuat pada 15 September 2021 semasa mesyuarat International Coordinating Council of the 33rd Session of the International Coordinating Council of Man and the Biosphere Programme (ICC MAB).

“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sebagai national focal point kepada program MAB merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas pengiktirafan ini. 

“Pengiktirafan ini merupakan kejayaan buat Malaysia amnya dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya dalam pengurusan kawasan berkepentingan biodiversiti di samping komitmen dalam melaksanakan pembangunan mampan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

TAKIYUDDIN

Dalam pada itu, Takiyuddin memaklumkan pihaknya yakin bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus komited dalam menguruskan tapak rizab biosfera itu dengan baik. 

“Kerajaan Negeri juga akan berusaha mengekalkan status pengiktirafan ini pada masa akan datang demi melaksanakan fungsi-fungsi yang telah ditetapkan di bawah program MAB ini,” katanya. 

Rizab biosfera Bukit Bendera berkeluasan 12,481 hektar merupakan green lung kepada Pulau Pinang yang melibatkan kawasan sekitar Bukit Bendera termasuklah Taman Botani Pulau Pinang, Taman Negara Pulau Pinang, enam hutan simpanan kekal serta dua empangan.

Rizab di kawasan itu juga merangkumi tiga ekosistem utama iaitu kawasan berhutan, pantai dan marin di samping setiap ekosistem menyokong pelbagai rangkaian flora dan fauna, termasuk mamalia dan burung hijrah migrasi terancam.

Sehingga kini, terdapat 2,456 spesies tumbuhan,131 spesies fungi, 300 spesies artropod, 157 spesies vertebrata, 26 spesies amfibia, 87 spesies reptilia, 150 spesies burung, 30 spesies mamalia dan 5 spesies marin yang terdapat di kawasan tersebut. 

20 spesies flora dan 550 spesies fauna di kawasan ini telah disenaraikan sebagai terancam dalam International Union for Conservation of Nature’s Red List (IUCN Red List) seperti penyu, ikan lumba-lumba, tenggiling, kongkang dan Penang Island Rock gecko. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.