10 individu dihadapkan ke mahkamah palsukan sijil vaksinasi

13

15 OKT: Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa seramai 10 individu sudah dituduh di mahkamah atas kesalahan memalsukan sijil suntikan vaksin Covid-19.

Timbalan 1 Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, daripada jumlah tersebut, seorang daripadanya didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara.

“Yang telah kita tuduh ada 10 orang dan yang telah didapati bersalah satu orang.

“Pecahan mengikut negeri ialah Kelantan satu, Melaka dua, Sarawak empat, Perak satu dan Sabah dua, jumlahnya 10 orang, dan seorang yang telah dihukum penjara itu kes di Sarawak,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PAS Setiu-Shaharizukirnain Abdul Kadir yang meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan berhubung tindakan ke atas golongan yang memalsukan sijil suntikan vaksin.

Terdahulu, Ismail berkata KDN bersikap terbuka untuk membantu pelajar asing di Malaysia untuk memperbaharui visa masing-masing bagi meneruskan pengajian di sini.

Ismail berkata mereka boleh terus berhubung dengan Jabatan Imigresen bagi urusan memperbaharui visa berkenaan.

Katanya, KDN sentiasa bersikap terbuka dan akan memberikan khidmat nasihat berkaitan urusan berkenaan.

“Kita tidak akan bertindak kejam dan keterlaluan tapi kita akan berikan khidmat nasihat yang sewajarnya bagi membolehkan kerjasama antara negara dan negara luar, yang mahu menjadikan Malaysia antara hab pendidikan yang terkenal,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Maszlee Malik (BEBAS-Simpang Renggam) yang bertanya mengenai kedudukan pelajar asing yang sudah tamat visa kerana beliau menerima banyak aduan pelajar berkenaan diarah untuk keluar dari negara dan kembali semula bagi memperbaharui visa mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.