Tiada keperluan uji keabsahan PM di Parlimen

14

14 SEPT: Tiada keperluan untuk Parlimen mengadakan undi percaya bagi menentukan keabsahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebagai Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Ahli Parlimen PAS-Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berkata ini kerana keabsahan Perdana Menteri dan kerajaan sekarang sudah diabsahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempena perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, semalam.

Justeru, Ahmad Fadhli berkata tiada pihak yang boleh mempertikaikan keabsahan Perdana Menteri dan kerajaan sekarang ini di Parlimen.

Ahmad Fadhli berkata beliau juga menyambut baik perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani oleh Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang, bagi mentransformasikan pengurusan Parlimen dan pentadbiran kerajaan yang mewakili pihak kerajaan dan Pakatan Harapan, semalam.

“Apa yang penting ditawarkan dan ditandatangani semalam hanyalah penerusan agenda dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen BERSATU-Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini.

“Sebenarnya tiada agenda baharu tetapi agenda sama sebab itulah kerajaan hari ini hanya meneruskan apa yang diletakkan dasarnya oleh Kerajaan PN sebelum ini.

“Kalau ini dinamakan kerajaan gagal sudah tentu YB Pagoh tidak akan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) seperti diumumkan Perdana Menteri,” katanya.

Justeru, Ahmad Fadhli berkata dasar berkenaan akan terus berjalan dan titah Yang di-Pertuan Agong meminta Ahli Parlimen mengetepikan politiking melampau sehingga menggagalkan program kerajaan perlu dipatuhi semua pihak.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.