MP Jelutong Digantung Hadiri Dewan Hanya Sehari

14

14 SEPT: Ahli Parlimen PH-Jelutong, RSN Rayer, hanya digantung sehari daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat, berbanding dua hari yang diputuskan pada pagi tadi.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon, ketika membuat keputusan itu turut meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati Rayer supaya tidak lagi mengulangi tindakan provokasi yang membawa kepada penggantungan berkenaan.

“Saya menghormati Dewan ini dan saya pun perlu dihormati Ahli Dewan Rakyat. Saya boleh mengambil budi bicara, (gantung) satu hari (saja). Esok, dia boleh masuk dengan Ketua Pembangkang boleh nasihat (supaya) dia kurangkanlah provokasi itu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Anwar ketika memulakan perbahasan Titah Diraja, meminta pertimbangan Rashid supaya arahan menggantung Rayer ditarik balik.

Sebelum ini media melaporkan akibat menggunakan perkataan ‘tidak sempurna’ terhadap Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rayer diarah keluar dari Dewan Rakyat dan digantung dua hari kerana mengeluarkan kenyataan melanggar Peraturan Mesyuarat.

Ahli Parlimen Jelutong berkenaan enggan menarik balik perkataan ‘tidak sempurna’ yang dikeluarkanya terhadap Mohd Rashid selepas diminta berbuat demikian menyebabkan beliau diarah keluar Dewan dan digantung menghadiri sidang selama dua hari.

Siri pertikaian dalam dewan berlanjutan lebih 20 minit selepas Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan keputusan dibuat Rashid yang menolak semua usul bagi mengganti Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, yang dikemuka Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.