MoU kunci kestabilan kerajaan – Wan Saiful

55

14 SEPT: Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) merupakan kunci bagi kestabilan kerajaan. 

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini sekali gus berupaya mengelakkan sebarang ugutan terhadap pentadbiran sedia ada yang dilakukan demi kepentingan peribadi.

Menurut beliau, MoU tersebut bukan sahaja mampu mewujudkan kestabilan kerajaan, ia juga adalah satu langkah ke hadapan dalam mematangkan demokrasi di negara Malaysia. 

“Sejak awal lagi kita mahukan kestabilan politik. Itu perkara paling penting bagi kita sebagai parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas keberanian, keihklasan dan kepimpinan beliau dalam meneruskan pelaksanaan rancangan itu melalui semangat Keluarga Malaysia.

“Alhamdulillah kepimpinan Perdana Menteri dengan gandingan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mula menunjukkan hasil dalam memastikan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran bersama untuk semua,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, kerajaan Persekutuan dan PH melakar sejarah apabila memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik di bangunan Parlimen, semalam. 

MoU yang dimeterai itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Dalam pada itu, Wan Saiful menjelaskan MoU itu yang juga idea awalnya diusulkan Muhyiddin akhirnya menjadi landasan bagi gerak kerja kerajaan hari ini melalui perjanjian berkenaan.

“Saya gembira kerana semua prinsip persefahaman yang dicadangkan Muhyiddin Yassin, pada Ogos lalu kekal menjadi landasan dalam gerak kerja kerajaan hari ini,” katanya.

Namun, persefahaman itu bukan bermaksud pembangkang sudah masuk dalam kerajaan malah mereka masih perlu terus menjalankan tanggungjawab semak imbang dengan bertanggungjawab.

“Persefahaman ini juga tidak bermaksud pembangkang akan dilantik dalam badan atau agensi eksekutif selain daripada apa yang dipersetujui sahaja dan ia juga tidak bermaksud kerajaan boleh buat apa sahaja tanpa semak imbang.

“Persefahaman ini akan memastikan bahawa pembangkang tidak menyokong apa-apa usul yang boleh dilihat sebagai penolakan kepada kerajaan, tanpa menghilangkan kebebasan pembangkang untuk membawa idea lain serta mempersoal kerajaan dalam perkara dasar,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.