PM Akan Umum Kelonggaran Baharu Dalam Masa Terdekat

43

14 OGOS: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan akan ada lebih banyak kelonggaran akan diumumkan bagi membolehkan rakyat melaksanakan aktiviti sosial dan ekonomi yang dinilai berada pada tahap risiko rendah.

Menurut Hishammuddin dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, kelonggaran tersebut akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

“Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik telah bersetuju membenarkan beberapa kelonggaran. Dalam menetapkan kelonggaran ini, kerajaan amat memahami tekanan, kepenatan dan kelesuan rakyat selepas lebih setahun berada dalam situasi pandemik yang membataskan aktiviti dan pergerakan.

“Situasi ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana berisiko membawa kepada kesan yang lebih serius terutama menjejaskan kesihatan mental,” katanya di dalam sidang akhbar tersebut.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata kerajaan akan mengurangkan jumlah prosedur operasi standard (SOP) sebanyak 94.5 peratus bagi memudahkan pemahaman dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata pengurangan jumlah SOP daripada 181 ketika ini dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi, dengan mengambil kira faktor tertentu selari peralihan negara ke fasa endemik, menjelang penghujung Oktober ini.

Bagaimanapun, Hishammuddin mengakui bahawa rangkaian SOP sedia ada, sejak penularan jangkitan COVID-19 melanda Malaysia pada awal Januari tahun lalu mengundang pelbagai kekeliruan.

“Justeru, jawatankuasa kuasa membabitkan empat kementerian yang ditugaskan memperincikan langkah penyesuaian dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) membendung penularan COVID-19 ketika negara menuju ke fasa endemik sepakat untuk merintis usaha ke arah memudahkan SOP sebagai persiapan beralih ke fasa berkenaan.

“Sebanyak 181 SOP sedia ada kini akan dikurangkan, kepada hanya 10. Bagi saya sedikit masa (untuk melaksanakan perkara ini), tetapi ia akan lebih mudah difahami,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.