7 lokaliti di Sabah, Pahang, Kelantan kena PKPD

8

14 SEPT: Tujuh lokaliti di Sabah, Pahang dan Kelantan akan dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula 16 hingga 29 September ini.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, lima lokaliti di Sabah yang dilaksanakan PKPD melibatkan Kampung Kirangawan (Darat dan Tengah) dan Kampung Pinatau di Kota Marudu.

Beliau berkata turut dikenakan PKPD ialah, Kampung Nuntunan Apin-Apin di Keningau, Kampung Lungkidau di Ranau dan Perumahan Pekerja Ladang Boustead Ruku-Ruku di Telupid, Sabah.

Katanya, satu lokaliti di Pahang yang dikenakan PKPD adalah Kampung Tementong, Mukim Cheka 1 di Daerah Lipis, manakala di Kelantan pula membabitkan Kampung Bahagia di Mukim Batu Mengkebang, Kuala Krai.

“Penguatkuasaan PKPD berkenaan dibuat selepas MKN meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19, di semua kawasan terbabit.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan PKPD di dua lokaliti di Pahang iaitu Kampung Badong Dalam dan Kampung Permatang Durian di Mukim Bebar, Pekan dilanjutkan dari 16 hingga 29 September.

Beliau juga mengumumkan penamatan PKPD di enam lokaliti di Sabah membabitkan Taman Ria Height di Tawau, Kampung Narawang dan Kampung Mininsalu Baru di Ranau, Kampung Labuan dan Kampung Ambong Tolus serta Kampung Rampayan Laut di Kota Belud berkuat kuasa mulai esok.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.