Titah Agong bukti kerajaan PN tidak gagal urus negara

44

13 SEPT: Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempena perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, pagi tadi, membuktikan kerajaan PN tidak gagal dalam pengurusan pandemik wabak COVID-19 dan pemulihan ekonomi negara.

Malah, Ketua Perikatan Nasional (PN), Senator Ir Khairil Nizam Khirudin, berkata Al-Sultan Abdullah menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan PN kerana telah menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara setahun yang lepas.

“Di dalam titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga memberikan penghargaan kepada Kerajaan PN  yang telah menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara setahun yang lepas.

“Jutaan tahniah saya ucapkan kepada semua ahli pasukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ini adalah bukti bahawa Kerajaan yang lalu tidak gagal dalam pengurusan negara,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

KHAIRIL NIZAM

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 oleh Seri Paduka Baginda YDP Agong Al-Sultan Abdullah Riayatudin Al-Mustaffa Billah Shah.

“Alhamdulillah, telah selesai titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada semua ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara.

“Patik menjunjung kasih titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada semua ahli parlimen untuk terus mengamalkan Demokrasi Bermusyawarah dalam mencari dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan yang dihadapi oleh negara.

“Baginda menyambut baik keterbukaan Kerajaan hari ini untuk melibatkan semua pemegang taruh termasuk ahli parlimen pembangkang dalam membantu tadbir urus negara. Baginda juga bertitah menghargai usaha-usaha ke arah merealisasikan kerjasama dwipartisan yang bakal membentuk landskap baharu politik tanah air dan membawa penambahbaikan ke dalam sistem pentadbiran negara.

“Inilah kematangan ahli-ahli politik Malaysia yang telah lama didambakan oleh rakyat. Benarlah kata pepatah Melayu, biduk lalu kiambang bertaut. Yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.