Titah Agong: Ahli Parlimen Perlu Fokus Pemulihan Negara

26

13 SEPT: Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah perlu dijadikan panduan kepada semua ahli Parlimen bagi memberikan fokus kepada agenda pemulihan negara dalam usaha membawa negara keluar daripada pandemik COVID-19.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sangat jelas dan tegas untuk diikuti wakil rakyat.

“Titah Tuanku jelas dan tegas, satu panduan kepada seluruh Ahli Yang Berhormat supaya kekal fokus kepada agenda pemulihan negara dan segera membawa rakyat keluar daripada pandemik COVID-19.

TUAN IBRAHIM

“Tugas berat ini mesti dipikul bersama dalam kerangka demokrasi, syura dan semangat Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim memaklumkan, PAS turut menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong ketika Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-14, hari ini.

Menurut beliau, PAS amat menghargai nasihat dan teguran Seri Paduka Baginda, terhadap pelbagai usaha kerajaan menangani pandemik COVID-19.

“PAS yakin masih banyak ruang penambahbaikan yang perlu diberi perhatian untuk membawa negara ke arah kejayaan lebih besar.

“Dalam sidang pada kali ini, PAS akan menyuarakan hasrat dan kemahuan rakyat selain memastikan agenda penting seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dibahas secara konstruktif demi mencapai matlamat ke arah Malaysia makmur, inklusif dan mampan.

“PAS juga akan memastikan semua Ahli Dewan Rakyat sentiasa menyantuni dan empati terhadap nasib rakyat di lapangan.

“Semua kemudahan dan bantuan kerajaan akan dimanfaatkan secara optimum untuk membantu rakyat tanpa mengira anutan agama, kaum dan fahaman politik. Insya-Allah,” katanya.

SHAFIE

Sementara itu, Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Shafie Apdal berkata, Yang di-Pertuan Agong menyentuh keperluan mengutamakan kepentingan negara dan rakyat ketika pandemik COVID-19.

“Sebagai wakil rakyat kepentingan dan keperluan rakyat menjadi agenda utama untuk dibincang dan diangkat.

“Apa saja tawaran dan cadangan penambahbaikan perlu dibincang dan dibahaskan. Apa yang penting, ia mesti berlandaskan kepada kepentingan negara dan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.