PH jangan manipulasi MoU rentas parti demi kepentingan politik

88

13 OGOS: Pakatan Harapan (PH) diharap tidak memanipulasikan memorandum persefahaman (MoU) rentas parti yang ditandatanganinya bersama Kerajaan hari ini demi untuk kepentingan politik mereka.

Penganalisis politik, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkata, ini memandangkan parti pembangkang terutamanya DAP sentiasa mencari jalan untuk memanipulasi keadaan bagi menjayakan pelbagai agenda yang gagal dilaksanakan oleh PH sepanjang 22 bulan menjadi kerajaan sebelum ini.

Beliau berpandangan, PH akan cuba menawarkan pelbagai cadangan dan idea mereka namun kerajaan mestilah memahami bahawa kerjasama politik yang ditandatangani hari ini adalah bersifat jangka pendek sahaja, iaitu untuk menangani masalah darurat sedia ada dari segi ekonomi, kesihatan dan sebagainya.

“Kalau MoU kerjasama ini hanya untuk tujuan menangani masalah COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara saya ok sahaja.

“Ini kerana kita perlukan kerajaan gabungan untuk menangani secepat mungkin wabak COVID-19 dan kemerosotan ekonomi negara supaya dapat mengurangkan kesan negatif terhadap kehidupan harian, kesihatan dan kedudukan kewangan rakyat.

“Kalau semua pihak dapat memfokuskan masalah COVID-19 dan pemulihan ekonomi negara dalam tempoh beberapa bulan sehingga pilihan raya baharu maka ia adalah satu pentanda baik kepada politik negara,” katanya ketika dihubungai wartawan PNBBC di sini sebentar tadi.

Zainal juga menegaskan tawaran kerjasama bipartisan berkenaan bukanlah perkara baharu kerana ia sebelum ini pernah dicadangkan oleh mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin namun ditolak secara bulat-bulat oleh PH atas sebab tertentu.

Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling

“Datuk Seri Ismail Sabri hanya meneruskan apa yang dicadangkan oleh Muhyiddin sebelum ini untuk mendapatkan kerjasama, perpaduan dan sokongan pembangkang untuk menangani dua masalah besar dihadapi negara sekarang iaitu penyakit COVID-19 dan kegawatan ekonomi negara ketika ini.

“Pada saya kerjasama kerajaan dengan pembangkang sekarang perlu memberi fokus kepada menyelesaikan dua masalah besar negara iaitu kemerosotan ekonomi dan penularan pandemik COVID-19.

“Selepas kedua-dua masalah itu diselesaikan kita kena kembali ke sistem demokrasi berparlimen biasa di mana wujudkan penyokong kerajaan dan pembangkang sebagai satu sistem semak dan imbang serta ada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara untuk menegur Ahli Politik yang banyak bermain politik,” ujarnya.

Katanya lagi, dalam keadaan sekarang negara memerlukan kerjasama semua ahli politik baik di pihak pembangkang mahu pun kerajaan untuk menangani masalah penularan COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Tambahnya, begitu juga dengan tawaran untuk menghadkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun yang perlu dilakukan menerusi Pindaan Perlembagaan.

Beliau berkata, langkah berkenaan perlu bagi mengelakkan wujudkan seorang lagi Perdana Menteri yang mengamalkan sistem autokrasi seperti diamalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang tempoh 22 tahun beliau menjadi pemimpin nombor satu negara.

“Selama 22 tahun, Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri beliau cuba sedaya upaya mengawal segalanya termasuklah dengan menghadkan kuasa Raja-Raja Melayu.

“Jadi bagi saya tawaran kerajaan untuk menghadkan tempoh seseorang ahli Parlimen menjadi Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun sahaja mempunyai banyak kebaikan dan memberikan kesan positif kepada pentadbiran dan rakyat di negara ini secara keseluruhannya,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau meluahkan rasa risau sekiranya berlaku pindaan perlembagaan dan dasar baharu terutama yang dikemukakan oleh DAP di mana ia pastinya tidak akan dipersetujui oleh rakyat.

“Antara dasar yang cuba dilaksanakan oleh PH sebelum ini yang ditentang oleh rakyat ialah cadangan untuk mengecilkan saiz anggota perkhidmatan awam, menukar sejarah dengan menjadi pengganas komunis sebagai sebahagian daripada pejuang kemerdekaan Malaysia; meminda Perlembagaan bagi menyamaratakan hak antara orang Melayu/Bumiputera dengan bangsa lain di Malaysia.

“Justeru itu, kerajaan perlu amat berhati-hati supaya kita tidak masuk perangkap politik pembangkang terutama DAP dalam menjalinkan kerjasama bipartisan dengan PH,” tegasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.