Peningkatan FDI negara cerminan keyakinan pelabur luar

5

13 SEPT : Peningkatan luar biasa aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang mencecah 223.1 peratus pada separuh pertama tahun ini,  mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan negara, selain persekitaran ekonomi dan perniagaan yang kondusif.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata,  perangkaan positif yang dicatatkan selari matlamat Malaysia ke arah usaha pemulihan ekonomi yang lestari dan maju.

“Pencapaian membanggakan ini juga mencerminkan keberkesanan strategi Malaysia bagi memastikan negara kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan dan hab rantaian bekalan untuk rantau ASEAN, khususnya sektor pengeluaran yang melakar keputusan positif.

“FDI memacu prestasi cemerlang dan utuh bagi sektor pengeluaran ketika ini, dengan nilai pelaburan yang diluluskan menjangkau RM58.2 bilion, manakala RM8.7 bilion lagi adalah daripada sumber domestik,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin seterusnya berkata, bagi keseluruhan pelaburan yang diluluskan, negara merekodkan FDI bernilai RM107.5 bilion, dengan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam sektor pengeluaran, perkhidmatan dan sektor utama melonjak 69.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Malaysia walaupun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar,  terus melakar pertumbuhan luar biasa, sekali gus bakal menyaksikan rantaian pelaburan sedemikian, dengan membabitkan 2,110 projek berupaya menjana 44,994 peluang pekerjaan di negara ini.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Jelas Mohamed Azmin, menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN), penambahbaikan situasi kesihatan awam dan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat, Malaysia terus menarik pelaburan berteknologi dan bernilai tinggi.

“Ini dipacu oleh kemampuan Malaysia dalam menyediakan pekerja berkemahiran tinggi dan kesediaan menerapkan teknologi maju untuk industri nilai tambah.

“Sebanyak 367 projek dalam sektor pengeluaran, bernilai RM66.9 bilion yang diluluskan pada separuh pertama tahun ini akan menjana 32,220 peluang pekerjaan meliputi pelbagai jawatan dan peranan. 

“Ia antara lain merangkumi 1,367 jawatan di peringkat pengurusan dan 4,031 tenaga teknikal profesional seperti jurutera dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E), mekanikal, kimia serta lain-lain,” ujarnya.

Tambahnya lagi, projek pengeluaran yang diluluskan juga memerlukan 4,144 buruh mahir. Pelaburan domestik dalam sektor utama dan perkhidmatan pula menjangkau nilai RM45 bilion atau 41.9 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan.

Antara projek yang diluluskan dalam separuh pertama tahun ini menurut beliau adalah termasuk SK Nexilis dari Korea Selatan untuk membina kilang pengeluaran kerajang tembaga, selain Risen Energy dan OCIM.

“Rangkaian projek ini bukan sekadar mampu memacu ekosistem industri di Malaysia, tetapi meningkatkan peluang pekerjaan dalam sektor berkemahiran tinggi dan memberi manfaat kepada peniaga tempatan dalam segenap nilai rantaian,” katanya.

Bertekad memacu kadar pemulihan ekonomi, Mohamed Azmin berkata pihaknya akan terus berusaha untuk menarik aliran masuk pelaburan bernilai tinggi demi menjana kesan limpah positif untuk manfaat rakyat dan negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.