Pastikan keselamatan pelajar ketika sesi sekolah bersemuka

11

13 SEPT: Pembukaan semula sesi sekolah bersemuka bermula 3 Oktober ini, adalah langkah untuk mendekatkan semula pelajar dengan institusi pendidikan setelah hampir lima bulan tidak dapat hadir ke sekolah.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor, berkata ini kerana sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula pada 12 Mei lalu, sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) 2.0 menjadi medium pendidikan di seluruh negara.

Namun, pihaknya melihat pelaksanaan PdPR pada ketika itu adalah satu keperluan mengikut keadaan dan situasi semasa.

“Oleh itu, GPMS menyokong penuh pengumuman tersebut sebagai langkah mendekatkan semula pelajar dengan institusi pendidikan secara bersemuka setelah hampir 5 bulan mereka tidak dapat hadir ke sekolah.

“Pelbagai usaha yang komprehensif sepanjang proses perbincangan dan sesi libat urus bersama pelbagai pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pelajar serta semua pemegang taruh dalam sistem pendidikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Mohd Alif Anas Md Noor

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan sekolah akan mula dibuka bagi sesi bersemuka pada 3 Oktober di negeri Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4.

Pembukaan semula sesi persekolahan tahun ini telah dilanjutkan sehingga Februari tahun depan dan akan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan untuk sesi PdP secara bersemuka. 

Dalam pada itu, Mohd Alif memaklumkan pelbagai usaha yang dilaksanakan telah memberikan pelbagai input kepada KPM dalam mengeluarkan garis panduan pembukaan sekolah bermula 3 Oktober nanti. 

Beliau berkata, kerjasama dan perbincangan yang juga telah dibuat bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menunjukkan bahawa KPM serius dalam memastikan keselamatan pelajar-pelajar tetap berada pada tahap optimum di kala kebimbangan jangkitan Covid-19 terus menjadi perbualan.

“GPMS juga kekal serius dalam usaha memastikan keselamatan pelajar-pelajar sepanjang sesi pembelajaran bersemuka berlangsung.

“Segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mestilah diikuti serta dipatuhi sepenuhnya,” katanya. 

Pada masa sama, Mohd Alif memberitahu GPMS terus mengharapkan kepada semua pihak khususnya guru-guru untuk memastikan diri masing-masing telah mendapatkan suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula. 

Bagi ibu bapa juga, beliau berkata, pihaknya merakamkan penghargaan atas segala sikap toleransi dan kerjasama yang diberikan kepada pihak guru dan anak-anak masing-masing sepanjang PdPR. 

“GPMS juga berharap dapat memberi kerjasama yang baik kepada pihak sekolah sebaik sesi persekolahan secara bersemuka bermula nanti.

“Terima kasih kepada Dr Radzi dan warga KPM yang bertungkus lumus dalam menjayakan pelan komprehensif bagi memastikan para pelajar dapat kembali ke sekolah dengan SOP dan norma baharu sesi persekolahan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.