Tiada Pembubaran Parlimen Sebelum 31 Julai 2022

282

13 SEPT:  Kerajaan telah memberi jaminan untuk tidak membubarkan Parlimen atau mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebelum 31 Julai 2022. 

Perkara itu disahkan Penyelaras Ketua Whip Ahli Parlimen PH, Anthony Loke yang menyatakan perkara itu merupakan elemen utama yang membuatkan Pakatan Harapan (PH) bersetuju menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, hari ini. 

Menurut beliau, jaminan tersebut perlu bagi memastikan setiap perkara yang dijanjikan dalam persefahaman itu dapat dilaksanakan mengikut garis masa ditetapkan.

ANTHONY

“Kita akan berusaha sepenuhnya untuk menangani COVID-19 dan tidak timbul ada keperluan mendesak untuk adakan pilihan raya secara mengejut.

“Jadi, kita memberikan kestabilan tersebut dengan menandatangani MoU dan Parlimen ini akan berfungsi sehingga Julai 2022 iaitu tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai atau berlanjutan sehingga akhir tempoh (penggal),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebaik selesai menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini. 

Terdahulu, Kerajaan dan pembangkang menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dalam urusan pentadbiran negara yang telah diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili kerajaan.

Manakala bagi pihak Pakatan Harapan (PH) diwakili Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Pemeteraian itu disaksikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

WAN JUNAIDI

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan persefahaman itu merupakan suatu momen yang bersejarah untuk pembaharuan dan kestabilan politik di Malaysia di samping akan memainkan peranan yang penting untuk pelan-pelan mentransformasi Parlimen. 

Justeru, beliau mengharapkan agar kerjasama itu akan mencorak pembaharuan minda politik yang sihat agar kita semua dapat memberikan khidmat yang baik dan tulus untuk rakyat. 

“Sebentar tadi, saya telah menghadiri Majlis Memorandun Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik bersama antara Kerajaan Persekutuan dan PH. 

“Saya bersyukur kerana kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama mengembalikan kestabilan politik dan memulihkan ekonomi negara melalui pendekatan dwipartisan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.