MoU Kerajaaan-Pembangkang Wujudkan Landskap Politik Baharu

31

13 SEPT: Persetujuan kerajaan dan pembangkang untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama rentas parti adalah suatu tindakan bersejarah dan mewujudkan landskap politik baharu negara.

Pakar Perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, persetujuan untuk menandatangani MoU untuk mengembalikan kestabilan politik berteraskan kesepakatan adalah satu langkah dialu-alukan.

Beliau berkata tindakan berkenaan juga adalah satu sejarah dalam kontek Malaysia, kerana ia mewujudkan kerjasama erat antara kerajaan pembangkang bagi memastikan tenaga yang ada tidak dibazirkan menerusi pertelingkahan atau pun pergelutan politik.

“Tindakan berkenaan selari dengan tujuh tawaran dikemukakan oleh Perdana Menteri untuk mewujudkan satu landskap politik baharu.

“Justeru saya melihat kesepakatan ini perlu dilaksanakan dengan kadar segera dan  sesuai dengan titah Yang di-Pertuan Agung yang menekankan kerjasama politik merentas parti.

“Baginda juga menasihatkan supaya wakil rakyat tidak menggunaan Parlimen untuk kepentingan politik sebaliknya memberi fokus masalah rakyat di luar sana, isu penularan pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi wartawan PNBBC di sini sebentar tadi.

Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi bekerjasama mengembalikan kestabilan politik negara di Parlimen hari ini.

Difahamkan MoU berkenaan antara lain bagi bersama menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pendekatan kerjasama secara dwi-partisan.

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata beliau percaya langkah berkenaan bukan hanya sekadar pembaharuan dalam tatacara pentadbiran kerajaan malah ia akan mewujudkan budaya politik baharu sesuai dengan cabaran baharu dihadapi negara sekarang.

Katanya, semua pihak juga perlu menyedari bahawa situasi dan realiti politik negara sekarang adalah tidak sama dengan apa yang berlaku dua atau 10 tahun lalu terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 di mana tiada lagi parti politik dominan yang mampu menguasai politik secara berkekalan.

“Parti Politik yang wujud juga mempunyai kekuatan seimbang antara satu sama lain. Ketika ini terdapat tiga realiti politik yang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.

“Pertama, ruang politik terbuka di mana setiap rakyat boleh terlibat secara langsung dan boleh memberikan pandangan secara terbuka mengenai politik menerusi media yang ada terutama pembabitan generasi muda apabila kelayakan mengundi diturunkan kepada mereka berusia 18 tahun.

“Kedua pengundi juga kini dilihat tidak setia kepada mana-mana parti tetapi membuat pilihan berdasarkan prestasi parti berkenaan serta penampilan pemimpin parti di kalangan orang awam.

“Ketiganya realiti politik bahawa terdapat persaingan yang kompleks di mana parti politik boleh menukar sokongan antara satu pakatan kepada pakatan lain. Justeru, budaya politik baharu perlu diwujudkan berteraskan kesepakatan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.