Kerajaan-Pembangkang tandatangani MoU, julang semangat Keluarga Malaysia

51

13 SEPT : Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan telah dizahirkan menerusi  Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang di bangunan Parlimen hari ini. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, transformasi yang diperkenalkan kerajaan bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif. 

Menurut beliau, perkara ini sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Memorandum ini, membentuk satu kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia. 

“Ini selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas hari ini.

“Titah hasrat Baginda Tuanku, semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Turut menandatangani MoU itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimaktubkan hari ini merangkumi pemerkasaan Pelan COVID-19, transformasi Pentadbiran, pembaharuan Parlimen; kebebasan Institusi Kehakiman;Perjanjian Malaysia MA63; dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

MoU yang terhasil dari beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang sejak akhir bulan ditandatangani secara bersama oleh Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut menandatangani MoU itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan Kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif. 

“Setinggi penghargaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah asmembulatkan tekad, mengenepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.