Jangan jadikan negara sebagai taruhan capai agenda tertentu

29

13 SEPT : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menasihatkan semua Ahli Parlimen supaya jangan meletakkan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan mereka mencapai agenda tertentu.

Al-Sultan Abdullah juga menitahkan semua Ahli Parlimen supaya mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar harapan kepada rakyat dan negara.

Berikutan itu, baginda menyeru agar sebarang bibit pertelingkahan hendaklah segera dihentikan supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu.

Baginda berkata demikian selepas ratusan pucuk surat telah diterima dari rakyat yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian
seperti biasa.

“Nasihat Beta kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat Beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

“Justeru, Beta menyeru kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat Beta dan negara tanah tumpahnya darah kita.

“Semoga Malaysia serta rakyat yang beta kasihi akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah SWT dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya,” titah baginda dalam Titah Diraja sempena perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, hari ini.

Sultan Abdullah menyambut baik usaha kerajaan mengadakan kerjasama dwipartisan dalam usaha untuk memulihkan negara.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah bertitah, menitahkan supaya kerajaan baharu dibentuk segera melipatgandakan usaha memerangi COVID-19 dan membawa negara serta rakyat keluar daripada ancaman pandemik ini.

Al-Sultan Abdullah berkata, menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan jangka panjang beta percaya kerajaan ini mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari pertama.

Baginda seterusnya menasihatkan semua pihak supaya mengamalkan sistem demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaikan kepada semua masalah.

“Justeru, beta menyambut baik keterbukaan kerajaan memberi peluang kepada semua pihak termasuk ahli Parlimen terbabit dengan tadbir urus kerajaan.

“Beta amat menyambut baik usaha-usaha kerajaan dengan mengadakan kerjasama dwipartisan antara semua pihak yang bakal membentuk landskap politik baharu dan membawa perubahan dalam landskap politik negara.

“Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh semua hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan perpaduan yang erat sebagai keluarga Malaysia akan dapat pelbagai cabaran untuk mengharungi pelbagai cabaran COVID-19 ke atas sistem ekonomi dan sosial, kesejahteraan rakyat,” titahnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.