Blok Pembangkang Kekal Kritik Kerajaan

44

13 SEPT: Fungsi dan peranan pembangkang untuk mengkritik dan membuat semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan kekal meskipun telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, blok pembangkang tidak akan terlibat dengan fungsi eksekutif di mana melibatkan pentadbiran bersama jemaah menteri. 

“Di pihak PH sekalipun memasuki tandangan MoU, kami kekal berperanan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab, yang konstruktif akan memainkan peranan sesuai dengan fungsi Parlimen iaitu semak dan imbang, mahupun pembuat dasar. 

“Sebab itu, dalam komponen reformasi Parlimen, kami perincikan bahawa untuk empower pemerkasaan peranan institusi Parlimen. Tiada peranan eksekutif tetapi akan bertindak dalam kedudukan sebagai Ahli Parlimen pembangkang. 

saifuddin nasution
SAIFUDDIN

Beliau berkata demikian pada sidang media sebaik selesai menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH di Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini. 

Sidang media turut dihadiri Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke dan Ketua Penerangan PH, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akil. 

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub memaklumkan, pemeteraian MoU itu lahir daripada semangat untuk memfokuskan kepentingan rakyat yang sedang bergelut dengan COVID-19.

Beliau berkata, apabila dokumen itu didedahkan, rakyat boleh melihat secara objektif tujuan persefahaman itu diwujudkan.

“Kami dalam PH akan terus bebas mengkritik, memberikan teguran, pandangan kepada kerajaan. Bahkan, PH kekal di barisan pembangkang untuk semak dan imbang. 

“Di samping memberikan pandangan yang konstruktif dan objektif namun dalam masa yang sama, dalam mendepani pandemik ini, rakyat dan juga negara akan jadi keutamaan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.