Ahli Parlimen perlu bersatu pulihkan negara dan kehidupan rakyat

43

13 SEPT: Semua Ahli Parlimen tidak mengira pandangan politik perlu bersama-sama merapatkan saf demi memulihkan negara dan mensejahterakan semula kehidupan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah, semua pihak hendaklah mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

“Alhamdulillah, lafaz syukur ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, Parlimen dapat memulakan persidangan Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas, bermula hari ini sehingga 12 Oktober 2021.

“Seperti yang dititahkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, semua pihak hendaklah mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

“Menjunjung titah Tuanku, inilah semangat yang dibawa dalam Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan untuk mengharungi pelbagai cubaan dan dugaan.

“Saya berharap persidangan ini dapat berjalan dengan lancar demi kepentingan rakyat dan negara. Oleh itu, saya menyeru semua ahli Parlimen tidak mengira pandangan politik, untuk sama-sama merapatkan saf demi memulihkan negara dan mensejahterakan semula kehidupan rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menzahirkan lafaz syukur kerana dengan limpah kurnia dan izinnya, Parlimen dapat memulakan persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 bermula hari ini sehingga 12 Oktober 2021.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 berlangsung hari ini adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri selaku Perdana Menteri kesembilan.

Persidangan yang diadakan dua hari selepas sambutan ulang tahun ke-62 Parlimen itu, dijadual menumpukan isu pemulihan negara susulan penularan pandemik COVID-19 serta pakej bantuan yang disediakan untuk kelangsungan hidup rakyat.

Mesyuarat selama 17 hari sehingga 12 Oktober itu, selepas suhu politik kembali reda dengan penubuhan kerajaan baharu di bawah pimpinan Ismail Sabri, juga bakal menyaksikan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.