Ahli Parlimen diseru tumpu agenda pemulihan negara

29

13 SEPT : Ketua-ketua penerangan parti Perikatan Nasional (PN) menyeru semua Ahli Parlimen memberikan tumpuan terhadap pembangunan ekonomi, penjagaan kesihatan rakyat, pembukaan semula sekolah dan institusi pendidikan, serta penerusan usaha-usaha menangani Covid-19 dalam sidang Parlimen yang bermula hari ini.

Menerusi satu kenyataan hari ini, ketua-ketua penerangan parti PN menegaskan bahawa sebarang usaha pembangkang untuk menggugat kestabilan pada waktu ini adalah tindakan yang tidak kena masanya.

“Kami menggesa parti-parti pembangkang menghentikan sikap bermuka-muka dalam hal ini. Negara memerlukan kestabilan dan tindakan menggangu gugat kerajaan dalam keadaan negara sedang berdepan krisis pandemik dan COVID-19 adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab,” tegas kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad,Ketua Penerangan,
SAPP, Chin Vui Kai, Ketua Penerangan STAR, Jeffrey Kumin dan Ketua Penerangan GERAKAN, Koo Shiaw Lee.

Sementara itu, kenyataan itu juga menegaskan jentera penerangan parti PN berikrar  membantu Perdana Menteri,  Datuk Seri Ismail Sabri  Yaakob dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, terutama dalam menyampaikan maklumat berkenaan dasar-dasar Kerajaan yang telah dan akan dilaksanakan.

“Sebagai jentera penerangan gabungan parti-parti dalam Perikatan Nasional, kami berikrar untuk terus membantu Perdana Menteri dalam usaha untuk menyampaikan segala dasar dan pelaksanaan kerajaan yang dibuat demi untuk kebaikan negara dan rakyat.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti-parti dalam kerajaan serta ahli-ahli parlimen yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri serta Kabinetnya untuk terus memimpin negara mendepani cabaran Covid-19 , sebagai kesinambungan daripada kepimpinan Perdana Menteri yang ke-8 terdahulu.

“Ini adalah semangat muafakat Keluarga Malaysia yang diperlukan negara pada waktu ini, demi kebaikan rakyat keseluruhannya,” jelas kenyataan itu.

Berkaitan dengan undi percaya, ketua-ketua parti penerangan PN sependapat bahawa berdasarkan Perlembagaan Persekutuan perlantikan Perdana Menteri adalah kuasa YDP Agong dan Baginda Tuanku telah menjalankan amanah dengan penuh bijaksana.

“Maka apabila Baginda Tuanku berpuas hati dengan sokongan majoriti yang jelas kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, undi percaya tidak lagi diperlukan,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.