Tawaran 7 transformasi Parlimen satu permulaan baik-PH

13

11 SEPT: Pakatan Harapan (PH) menganggap tawaran dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan, semalam, adalah satu permulaan baik berikutan pertemuannya dengan pemimpin pembangkang pada 25 Ogos lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya menyambut baik pengumuman Ismail Sabri berhubung tujuh tawaran berkenaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Walaupun begitu, proses perbincangan masih berjalan untuk mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak serta membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pendapatan dan pekerjaan.

“Keutamaan PH semestinya berteraskan reformasi Parlimen, reformasi fiskal dan program pro-rakyat termasuk moratorium pinjaman bank untuk golongan M40 dan B40 serta kebebasan institusi kehakiman,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan tujuh tawaran transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan antaranya termasuk meminda Perlembagaan Malaysia bagi menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan juga komited bentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Lompat Parti dan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan Undi18 dilaksanakan; memberikan Ketua Pembangkang saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan juga bersetuju untuk mewujudkan keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, PH sebelum ini turut mengusulkan peruntukan segera tambahan RM45 bilion bagi meringankan beban hidup rakyat.

Dalam pada itu Anwar berkata, PH melihat masih wujud keperluan usul percaya kepada Perdana Menteri diadakan secepat mungkin pada sidang Parlimen kali ini.

Anwar mendakwa langkah berkenaan selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu, bagi mengabsahkan bahawa Perdana Menteri sudah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“PH akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang dengan menekankan isu tatakelola kerajaan yang baik serta ketegasan membasmi rasuah.

“Wajar ditegaskan tuntutan supaya pembangkang diberi layanan setimpal dan akan memainkan peranan sewajarnya dalam menyemak dan mengimbangi pihak Eksekutif. Kami akan sentiasa lantang memperjuangkan keadilan untuk rakyat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.