18 Ahli Parlimen PAS akan sokong pelantikan Ahmad Maslan

31

11 SEPT: Pencalonan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat disokong penuh oleh PAS.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, berkata beliau yakin 18 Ahli Parlimen PAS akan memberi sokongan kepada Ahmad untuk menjawat jawatan itu.

Idris berkata, PAS tidak menganggap pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pontian sebagai satu masalah kerana bekas Timbalan Menteri Kewangan itu belum didapati bersalah oleh mahkamah.

“Insya-Allah 18 Ahli Parlimen PAS akan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Selagi hukuman tidak dijatuhkan (merujuk pertuduhan dihadapi Ahmad) maka kita tak boleh anggap orang itu bersalah,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kesan banjir di Pusat Rekreasi Titi Hayun, Yan, Kedah hari ini.

Idris berkata demikian bagi mengulas keputusan UMNO mencalonkan Ahli Parlimen Pontian itu sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi mengisi kekosongan jawatan itu selepas dikosongkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman.

Terdahulu, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  menyalurkan sumbangan berbentuk wang tunai dan barang keperluan mangsa banjir menerusi agensi di bawah kementerian berkenaan.

Peruntukan terbabit adalah sebanyak RM35,000 menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Yayasan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (RM51,600), Yayasan Dakwah Islamiah (RM30,000) dan Majlis Agama Islam Persekutuan Wilayah Persekutuan sebanyak RM400,000.

Sebelum ini Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz dipetik sebagai berkata pihaknya mengadakan pertemuan dengan Ahmad mengenai pencalonan itu dan beliau juga sudah bersetuju.

Sementara itu, blok pembangkang dilaporkan mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mewakili Pakatan Harapan (PH).

Sebagai rekod, Ahmad kini berhadapan dengan kes mahkamah membabitkan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengenai pengagihan kerusi antara PAS, BERSATU dan UMNO dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Idris berkata pihaknya belum bersedia mendedahkan mengenai perkara itu.

“Ulasan mengenai pembahagian kerusi itu akan diberikan selepas ini dan bukan di Yan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.