Polis PJ dan Putrajaya tutup SJR di jalan utama

33

10 SEPT: Polis sudah menamatkan sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Persekutuan dan Taman Kanagapuram mulai tengah malam tadi susulan peralihan kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Lembah Klang yang diumumkan kerajaan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, bagaimanapun berkata empat lagi SJR di Petaling Jaya dikekalkan.

Katanya, lokasi SJR yang dikekalkan ialah di Plaza Tol Sungai Buloh, Plaza Tol Kota Damansara, Plaza Tol Damansara dan Plaza Tol Subang.

“Orang ramai dinasihatkan supaya terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh pelaksanaan Fasa 2 PPN di daerah Petaling Jaya khususnya.

“Orang ramai juga diingatkan tidak leka dengan kelonggaran diberi sehingga mengabaikan SOP dalam mengawal dan mencegah pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semua SJR berkenaan ditamatkan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner, A Asmadi Abdul Aziz, mengesahkan pihaknya sudah  menamatkan tujuh SJR di sekitar pusat pentadbiran kerajaan di sini, tengah malam tadi.

Asmadi menjelaskan semua SJR itu ditamatkan pada jam 12.01 tengah malam tadi, sekali gus membolehkan polis menumpukan tugas menguat kuasa pematuhan SOP orang ramai.

“Operasi pematuhan akan dipergiatkan dengan penambahan anggota bagi memastikan orang ramai yang memasuki pusat pentadbiran kerajaan ini mematuhi SOP sama ada bagi tujuan riadah atau pelancongan domestik,” katanya kepada media ketika memantau penutupan sekatan jalan raya, malam tadi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.