Muhyiddin sahkan akan bertanding dalam PRU-15

438

10 SEPT : Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) , Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau akan bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Walau bagaimanapun, Pengerusi PN itu tidak menyatakan dengan jelas sama ada akan mempertahan kerusi Parlimen Pagoh yang disandangnya.

“Pada masa itu (PRU-15), PN dan saya sebagai Pengerusinya akan mengambil bahagian dalam Pilihanraya. InsyaAllah, dengan izin Allah dan sokongan rakyat, kita akan bangkit semula. 

“Sehingga saat itu, saudara dan saudari sebagai ahli parti, mestilah melakukan segala persiapan. Tumpukan kepada usaha untuk memperkuatkan parti di akar umbi. Jangan bersengketa sesama kita. 

“Elakkan perasaan dengki dan irihati. Kukuhkan perpaduan, tingkatkan kerjasama dan lipat gandakan usaha untuk menjadikan BERSATU sebagai parti pilihan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima BERSATU secara maya yang disiarkan di Facebook parti itu, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin merakamkan ucapan tahniah kepada pemimpin parti itu yang dilantik menganggotai Jemaah Menteri di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Muhyiddin mengucapkan tahniah kepada semua ahli Kabinet yang dilantik menjadi Menteri dan Timbalan Menteri dan berharap agar terus menjalankan tanggungjawab dengan bertanggungjawab dan cemerlang.

Bekas Perdana Menteri itu turut menasihatkan supaya Jemaah Menteri berkenaan menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan cemerlang dan penuh integriti kerana rakyat sedang memerhati dan menilai parti berdasarkan prestasi mereka.

“Saya doakan agar anda semua akan dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan negara serta mengharumkan nama parti kita.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pimpinan dan ahli parti komponen Perikatan Nasional, iaitu PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN yang setia bersama kita dalam saf perjuangan ini.

“Ucapan terima kasih dan penghargaan juga kepada pimpinan parti rakan iaitu GPS, MCA, MIC, PBRS dan PBS,” katanya. 

Dalam pada itu, Muhyiddin berasa hiba apabila menerima perkhabaran terdapat ahli BERSATU yang telah terkena jangkitan COVID-19, malah ada yang telah maut ketika menyampaikan bantuan kepada rakyat. 

Menurut beliau, ini merupakan suatu pengorbanan yang amat besar nilainya dalam perjuangan parti BERSATU dan merupakan satu sikap terpuji yang wajar dicontohi. 

“Walaupun berhadapan dengan cabaran risiko pandemik ini, para pejuang parti kita tidak patah semangat. Saya tahu ada ahli parti yang dijangkiti COVID-19 ketika mereka keluar menyampaikan bantuan kepada rakyat. 

“Selepas sembuh, mereka keluar lagi menyampaikan bantuan kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli parti. Allahuakbar. Ini adalah satu sikap yang amat terpuji.

“Ini adalah kisah wira dan wirawati yang tidak didendangkan. Mereka adalah true unsung heroes.Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua wira dan wirawati parti yang telah berkorban jiwa dan raga bersama-sama membantu meringankan beban rakyat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.