Kadar dividen SPKP kekal 8 peratus lima tahun berturut-turut

32

10 SEPT : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengumumkan agihan kadar dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) iaitu Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 2020 adalah sebanyak lapan peratus.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, DPK di bawah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mencatatkan keuntungan sebanyak RM9.05 juta dengan keseluruhan nilai agihan dividen adalah berjumlah RM7.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020. 

Beliau berkata, DPK mampu memberikan pulangan yang kompetitif dan melebihi kadar inflasi secara konsisten dengan purata dividen sebenar sebanyak 8.8% bagi lima tahun secara berturut-turut semenjak tahun 2016 di samping mencatatkan keuntungan konsisten setiap tahun berkenaan dengan margin untung bersih melebihi 80 peratus. 

“MAFI mengucapkan tahniah kepada NAFAS atas prestasi cemerlang bagi tahun 2020 dapat memberikan kadar dividen yang kompetitif kepada para pelabur SPKP, DPK.

“Meskipun tahun 2020 merupakan tahun yang sukar berikutan ketidaktentuan pasaran akibat penularan pandemik COVID-19, NAFAS melalui DPK telah terus fokus kepada strategi pembiayaan dan kepelbagaian portfolio perbendaharaan bagi memberikan daya tahan dan pulangan yang memberangsangkan kepada ahli-ahlinya,” katanya. 

Ronald memaklumkan ahli-ahli pertubuhan peladang di seluruh negara digalakkan untuk melabur bersama SPKP, DPK bagi menikmati pelbagai manfaat tambahan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Agihan Dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP), Dana Peladang Kebangsaan (DPK), NAFAS Tahun 2020 di kementeriannya di Putrajaya, hari ini. 

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid , Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Pertubuhan Peladang, Nik Mohd Shaharil Nik Hashim dan Pengurus Besar NAFAS, Abu Sujak Sahuji

Dalam pada itu, Ronald memaklumkan ahli-ahli pertubuhan peladang di seluruh negara digalakkan untuk melabur bersama SPKP, DPK bagi menikmati pelbagai manfaat tambahan dalam membantu meningkatkan sumber ekonomi warga tani. 

“Ini sekaligus akan mengukuhkan sektor 
pertanian negara secara keseluruhannya. Pada masa yang sama, pertubuhan peladang juga digalakkan untuk menambah jumlah pelaburan sedia ada yang dapat memberikan manfaat pulangan terbaik untuk seluruh ahlinya,” katanya. 

Sementara itu, Ronald berkata, NAFAS melalui DPK sentiasa berusaha mempertingkatkan prestasi untuk menjadi 
lebih kukuh dengan mempelbagaikan aktiviti pelaburan dengan alternatif pelaburan yang berisiko rendah dan sederhana rendah serta meneroka produk pembiayaan baharu.

Menurut beliau, penubuhan DPK secara umumnya adalah bagi menyediakan perkhidmatan kewangan yang kompetitif serta menggembleng dana untuk diagihkan dalam bentuk pembiayaan dan pelaburan usahasama kepada ahli serta rangkaian Pertubuhan Peladang. 

“Ia melibatkan NAFAS, 14 Pertubuhan Peladang Negeri, 279 Pertubuhan Peladang Kawasan dan hampir 1 juta ahli peladang berdaftar di seluruh negara.

DPK telah membiayai beberapa projek stesen minyak antaranya Petronas dan Petron 

“Selain itu, DPK turut membiayai projek-projek tanaman semula ladang sawit, tanaman fertigasi, pembelian jentera pertanian serta modal pusingan ternakan ayam. 

“DPK sejak dilancarkan pada 17 Disember 2012 sehingga Jun 2021 telah menguruskan aset lebih RM210 juta. Manfaat dari perkara itu, para pelabur akan berpeluang untuk menikmati dividen yang lebih konsisten setiap tahun,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.