7 tawaran transformasi Parlimen, Termasuk Had Penggal PM

57

10 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini mengumumkan tujuh tawaran transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan termasuk meminda Perlembagaan Malaysia bagi menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga komited bentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Lompat Parti dan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan Undi18 dilaksanakan.

Katanya lagi, kerajaan juga bersetuju untuk memberikan Ketua Pembangkang saraan dan kemudahan setara Menteri.

“Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.

“Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

“Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Perdana Menteri berkata, semua tawaran terbabit diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri selari dengan komitmen kerajaan untuk melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Perkara itu menurutnya juga selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai kepentingan sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

“Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak pada ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi COVID-19 serta pemulihan ekonomi.

“Tawaran ini juga bertujuan mewujudkan landskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

“Pada masa yang sama, kerajaan komited untuk memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa,” katanya.

Ismail Sabri seterusnya menjelaskan transformasi kerajaan ini memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum, dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia.

“Ini juga selaras dengan semangat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.