RM520 juta hasil tuna sehingga Ogos lalu

38

9 SEPT: Malaysia merekodkan hasil pendaratan tuna sebanyak 58,550 tan bernilai RM520 juta dalam tempoh lapan bulan bermula Januari hingga Ogos lalu, membuktikan kerajaan tetap memberi komitmen penuh dalam pengurusan tuna di pelabuhan walaupun negara dilanda COVID-19.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, daripada jumlah pendaratan itu, pelabuhan Pulau Pinang menerima 20 kali pendaratan tuna membabitkan berat 1,301 tan yang dieksport ke Indonesia, Thailand, Singapura dan Vietnam.

Pada masa sama, menurut beliau, daripada jumlah tersebut sebanyak 42,232 tan metrik adalah dari jenis tuna neritik, 3,389 tan metrik adalah dari tuna oseanik dan 12,929 tan metrik adalah dari tuna-like species. 

“Melihat kepada hasil pendaratan ini, Kerajaan menggalakkan sehingga 70 buah vesel penangkapan ikan tuna berbendera Malaysia beroperasi di Lautan Hindi menjelang tahun 2030. Ini adalah bagi membolehkan kuota pendaratan ikan tuna oleh Malaysia di Lautan Hindi sebanyak 30,000 tan metrik tercapai. 

“Sehingga Ogos 2021, sebanyak 20 buah vesel tuna iaitu 19 buah vesel penangkapan ikan tuna dan sebuah vesel carrier tuna telah dilesenkan dan sudah beroperasi di Lautan Hindi manakala satu lagi vesel penangkapan ikan tuna dalam proses pelesenan dan dijangka dilesenkan pada hujung tahun ini.

“Di samping menggalakkan vesel sedia ada untuk mendaratkan tuna di pelabuhan-pelabuhan yang telah didaftarkan, galakan kepada pengusaha tempatan untuk mencebur dalam industri tuna membuka peluang kepada pemilik Zon C2 dengan peralatan rawai atau pukat jerut yang berkelayakan untuk mengoperasikan vesel di Zon C3,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pendaratan Tuna di Dermaga Ayer Dalam, Pulau Pinang, hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalannya, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI. 

Dalam pada itu, Ronald memaklumkan MAFI bakal melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030 sebagai inisiatif pembangunan dan pengurusan industri tuna negara yang menyeluruh selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0). 

Beliau berkata, pendekatan yang berfokus dan bersasar dalam pelan ini akan terus membangunkan industri tuna dan laut dalam dengan meningkatkan pendaratan sektor perikanan dan jaminan sekuriti makanan negara. 

“Di samping itu, ia menggalakkan penglibatan pengusaha industri tersebut di sepanjang rantaiannya sekali gus meningkatkan daya saing dan pendapatan kumpulan sasar. 

“Industri itu kian rancak dibangunkan dan mutakhir ini menjadi suatu sumber kekayaan baharu negara hasil daripada kerjasama semua pihak terutama pengusaha vesel penangkapan ikan tuna yang komited.

“Pelan itu wajar diterjemahkan dengan memastikan peluang ini dapat dimanfaatkan semua pihak kerana tidak terhad kepada aktiviti penangkapan sahaja, malah pelbagai perkhidmatan lain di sepanjang rantaian nilai industri tuna boleh dibangunkan seperti pelabuhan, pengangkutan, penyimpanan, pemprosesan dan lain-lain,” katanya. 

Tambah beliau, ia juga selaras dengan transformasi sektor perikanan yang menyeluruh selaras dengan hasrat dan jangkaan pihak berkepentingan serta menyokong pembangunan ekonomi negara.

Beliau turut memaklumkan Malaysia harus mengambil peluang sebagai negara ahli Indian Ocean Tuna Commission (IOTC) untuk menghantar lebih banyak vesel perikanan menangkap ikan tuna di Lautan Hindi dan menggalakkan lebih banyak vesel tuna mendarat di Malaysia. 

“Bagi memastikan pembangunan industri tuna terus berkembang di negara ini, kerjasama di antara Kerajaan dan pihak swasta adalah amat penting termasuk pelaburan swasta bagi memastikan industri tuna di Malaysia dapat dimanfaatkan oleh semua pihak,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.