Lebih separuh populasi Malaysia lengkap vaksin

17

9 SEPT: Lebih separuh iaitu 16,492,295 orang daripada keseluruhan populasi negara telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

JKJAV menerusi perkongsian infografik dalam laman Twitter rasminya hari ini memaklumkan seramai 20,943,582 individu atau 64.1 peratus sudah menerima dos pertama, menjadikan kumulatif pemberian vaksin sebanyak 37,392,241 dos.

Bagi jumlah populasi dewasa di negara ini pula, sebanyak 70.5 peratus sudah lengkap divaksinasi dan 89.5 peratus sekurang-kurangnya menerima satu dos.

Sabah menjadi satu-satunya negeri yang masih belum mencapai lebih 50 peratus populasi dewasa yang lengkap menerima dos vaksin dengan hanya 47 peratus direkodkan setakat semalam.

Lembah Klang merekodkan jumlah peratus populasi keseluruhan yang paling tinggi menerima vaksinasi lengkap dengan 6,065,343 orang atau 72,peratus diikuti Wilayah Persekutuan Labuan dengan 65,564 (65 peratus) dan Sarawak dengan 1,795,106 (63.7 peratus).

Sementara itu, Kedah, Kelantan dan Sabah mencatatkan peratusan pemberian vaksin lengkap bagi populasi keseluruhan paling rendah iaitu masing-masing 782,376 (35.8 peratus), 625,821 (32.8) dan 1,297,253 (33.2).

Semalam, sejumlah 320,452 dos vaksin diberikan seluruh negara dengan 128,038 ialah dos satu manakala 192,414 dos lengkap.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.