Kematian COVID-19 Penerima Vaksin Lengkap 0.009 peratus

12

9 SEPT : Analisis data klinikal angka kematian akibat COVID-19 di negara ini menunjukkan sebanyak 0.009 peratus iaitu bersamaan dengan 19 kematian daripada sejuta penduduk Malaysia, membabitkan individu yang menerima dos penuh.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, daripada jumlah itu, 81 peratus adalah terdiri daripada komorbiditi atau mereka yang belum menerima vaksin manakala selebihnya merupakan golongan warga emas. 

“Jika kita lihat kepada data ini membuktikan vaksin berkesan dan menyelamatkan nyawa. Tidak kira jenis apa vaksin yang telah mendapat kelulusan, semuanya memberi pelindungan walaupun ada kes yang menebusi kematian (break through death). 

“Kes vaksin ini bukan hanya terjadi kepada Malaysia malahan seluruh dunia mengalaminya dan adalah lebih baik kita mengambil vaksin daripada kita tidak mengambilnya,” katanya menerusi sidang media di KKM, Putrajaya, hari ini. 

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan KKM mengesahkan setakat bulan Ogos, sebanyak 2,417 kes kematian COVID-19 di luar hospital (BID) dilaporkan di seluruh negara. 

Namun, beliau menegaskan daripada jumlah itu, hanya 14 peratus sahaja yang berada di bawah pemantauan perubatan KKM dan pengamal perubatan swasta manakala 86 peratus lagi hanya melakukan pemantauan di rumah. 

“Kita akan usahakan dan menambah baik strategi dalam BID ini bagi memastikan jumlah tidak berada dalam pemantauan perubatan KKM seperti Klinik Kesihatan, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan sebagainya. 

“KKM sedang mengkaji secara mendalam kes BID ini di mana berdasarkan pemerhatian bagi memastikan kita mengetahui langkah-langkah terbaik supaya dapat memberi nasihat kepada mereka yang sudah ada simptom untuk hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) atau tempat yang telah disediakan oleh KKM, “katanya.

Dalam pada itu, ditanya perkembangan vaksinasi pelajar sekolah, Khairy memaklumkan perkara itu akan dilaksanakan pada masa terdekat selaras dengan tarikh baharu pembukaan sekolah yang akan diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin. 

“Sama ada dapat diselesaikan semua, perancangan akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) namun kita akan tetap teruskan. Saya rasa tak sempat habiskan semuanya namun proses vaksinasi tetap akan diteruskan. 

“Kita telah adakan mesyuarat penyelarasan bersama KPM dan Menteri dan mereka berpuas hati dan maklum proses vaksinasi akan serentak dengan pembukaan sekolah-sekolah secara berperingkat. 

“Saya telah memberi tugasan kepada Timbalan Menteri, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menjadi penyelaras program vaksinasi buat golongan remaja. Jadi, saya yakin bahawa walaupun ada beberapa kaedah untuk mevaksinasikan pelajar namun selalunya akan divaksin di sekolah, ” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.