Remaja di Lembah Klang bakal terima vaksin Pfizer

38

8 SEPT: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Lembah Klang, bakal diberikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer, tidak lama lagi.

Khairy berkata tindakan itu susulan keputusan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) meluluskan pemberian vaksinasi COVID-19 bagi golongan remaja, baru-baru ini.

Program vaksinasi golongan remaja akan bermula di Sarawak hari ini.

“Vaksinasi Sarawak akan bermula hari ini dengan remaja berumur 16-17 tahun dan 12-15 tahun yang berisiko tinggi (tanpa keadaan kesihatan yang kronik).

“Labuan dan Lembah Klang tidak lama lagi. Kami akan memberi mereka vaksin Pfizer,” katanya dalam ciapan menerusi akaun twitternya hari ini

Terdahulu, Khairy dipetik sebagai berkata seramai 76,400 remaja di Sarawak mula menerima vaksin COVID-19 mulai hari ini, menjadikan mereka sebagai kumpulan pertama remaja di negara ini yang divaksinasi.

Khairy berkata kumpulan itu terdiri daripada remaja berumur 16 serta 17 tahun dan remaja berumur 12 hingga 15 tahun yang menghidap penyakit berisiko tinggi, iaitu bermasalah dengan sistem imun.

“Saya baru sahaja berhubung dengan Menteri Kesihatan Negeri Sarawak. Kumpulan awal yang ditawarkan untuk menerima vaksin. Kadar dos pula sama seperti golongan dewasa.

“Selepas kumpulan awal ini, pemberian vaksin akan diberikan kepada remaja berumur 14 dan 15 tahun. Kemudian 12 dan 13 tahun secara berperingkat,” katanya dalam sidang media di Sabah, semalam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.