102 kes BID direkodkan, tertinggi setakat ini

13

8 SEPT: Malaysia mencatatkan kes kematian tertinggi dengan 361 pesakit meninggal dunia akibat COVID-19 dilaporkan meninggal dunia hari ini, termasuk 102 kes berlaku di luar hospital (BID).

Dengan pertambahan itu angka korban akibat penularan COVID-19 di Malaysia kini mencecah 19,163 kes atau satu peratus daripada kumulatif 1,900,467 kes di Malaysia setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada 361 kes kematian berkenaan 301 kes membabitkan rakyat tempatan manakala 60 lagi pesakit meninggal adalah bukan warga negara.

“Secara keseluruhnya terdapat 248,673 kes aktif COVID di Malaysia hari ini termasuk 1,299 kes (904 kes COVID-19; 395 kes suspected, probable, dan kes dalam siasatan) yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Selain itu terdapat 750 kes lagi (430 kes COVID-19; 320 kes suspected, probable, dan kes dalam siasatan) pula memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham mengesahkan kes positif harian COVID-19 di Malaysia kini kembali meningkat kepada hampir 20,000 kes sehari dengan 19,733 kes lagi dilaporkan hari ini.

Beliau berkata Sarawak kekal sebagai negeri mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 3,100 kes; diikuti Selangor (2,989), Pulau Pinang (2,474) dan Sabah (2,067).

Negeri lain yang mencatatkan kes positif harian melebihi 1,000 ialah Johor (1,867), Kedah (1,564), Kelantan (1,471) dan Perak(1,319); Terengganu (904), Pahang (700), Kuala Lumpur (537), Melaka (375) dan Negeri Sembilan (256) manakala tiga negeri merekodkan jumlah kes bawah angka 100 kes ialah Perlis (74), Putrajaya (29) dan Labuan (7)

Dr Noor Hisham mengesahkan KKM mengesan 35 lagi kluster baharu COVID-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 4,995 kluster termasuk 3,536 kluster sudah tamat dan 1,459 kluster masih aktif.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.