KDN sasar kakitangan lengkap vaksin dalam masa terdekat

8

5 SEPT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan semua kakitangan dan pegawai termasuk agensi di bawah kementerian berkenaan lengkap divaksinasi dalam masa terdekat.

Menterinya,  Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata beliau tidak bimbang mengenai masalah anti vaksin dalam kalangan kakitangan di bawah kementerian dan agensi di bawah KDN kerana sehingga kini lebih 80 peratus daripada mereka sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

Malah, Hamzah mengesahkan setakat ini, 96 peratus pegawai KDN sudah lengkap menerima dua dos vaksin, warga Polis Diraja Malaysia pula 91 peratus manakala Jabatan Penjara Malaysia sudah menghampiri 100 peratus.

“Kebanyakan warga KDN adalah terdiri daripada petugas barisan hadapan, jadi perlu menerima suntikan vaksin lebih awal untuk mengelakkan timbul masalah kepada orang awam.

“Mereka adalah barisan hadapan dan sepatutnya menjadi yang terawal menerima vaksin, jadi mereka tidak sepatutnya bawa masalah kepada rakyat,” katanya selepas meninjau lokasi terjejas dalam kejadian kepala air dalam program KDN Prihatin di Titi Hayun, di Yan, Kedah hari ini.

Hamzah ketika hadir dalam program bantuan KDN kepada mangsa banjir di Titi Hayun, Yan Kedah hari ini.

Ditanya bentuk hukuman jika ada warga KDN yang enggan menerima vaksin, Hamzah berkata, pihaknya yakin semua warga agensi di bawah KDN akan menerima suntikan vaksin.

“Isu vaksin dalam kalangan anggota agensi di bawah KDN buat masa ini tidak ada kebimbangan, semuanya dalam keadaan terkawal,” katanya.

Terdahulu, Hamzah mengesahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen akan melaksanakan inisiatif perkhidmatan bergerak sebagai platform bagi memudahkan urusan pemprosesan dokumen pengenalan diri penduduk yang terjejas susulan kejadian banjir di kaki Gunung Jerai di sini pada 18 Ogos lalu.

Beliau berkata, kemudahan itu disediakan selepas kira-kira 50 laporan polis yang diterima berhubung kehilangan dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran, MyKad dan pasport dalam bencana itu.

“Kita akan hantar ‘mobile truck’ JPN supaya penduduk terlibat boleh siapkan segala dokumen berkaitan yang hilang dan rosak dalam masa sejam sahaja,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.