Muhyiddin terima tugas tanpa imbuhan

136

4 SEPT: Presiden Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan dirinya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf Menteri. 

Bekas Perdana Menteri itu berkata kepercayaan yang telah diberikan oleh kerajaan merupakan suatu amanah untuk beliau meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak COVID-19.

Justeru, Muhyiddin berbesar hati menerima pelantikan tersebut dan akan menjalankan tugas dan amanah yang telah diberikan secara sukarela tanpa mendapat apa-apa imbuhan daripada kerajaan. 

“Alhamdulillah, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Jemaah Menteri, khususnya Perdana Menteri atas pelantikan saya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri. 

“Saya juga menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah memperkenankan pelantikan saya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini. 

Terdahulu, pelantikan Muhyiddin telah disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali menerusi kenyataan memaklumkan pelantikan itu telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Menurut beliau, perkara tersebut telah mendapat kata sepakat dan dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 September lalu.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan beliau dan anggota MPN akan berperanan membantu Perdana Menteri dan jemaah Menteri membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan sepertimana yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

Menurut beliau, ini termasuk menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan. 

“Di samping itu, akan mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras dengan peralihan pengurusan COVID-19 yang akan memasuki fasa endemik.

“Insya-Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia. 

“Ini bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.