Liek Hou Bawa Pulang Emas Kedua Buat Malaysia

50

4 SEPT: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou mencipta sejarah dengan menjadi pemain pertama negara memenangi pingat emas dalam sukan itu di Sukan Paralimpik 2020 dan kedua buat Malaysia di Tokyo, sebentar tadi.

Liek Hou yang beraksi bagi kategori SU5 cemerlang apabila menewaskan pemain nombor satu dunia yang juga musuh tradisinya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-15 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Kebangsaan Yoyogi selama 50 minit.

Kemenangan itu menyaksikan pemain berusia 33 tahun berkenaan menjadi penyumbang emas kedua kontinjen negara selepas jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin memenangi emas pertama minggu lalu.

Sebelum ini, emas pertama negara dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 telah disumbangkan oleh Bonnie dalam acara powerlifting dalam kelas 72 kilogram (kg).

Bonnie merangkul emas dengan angkatan terbaiknya 228 kg sekali gus memecahkan rekod temasya yang sebelum ini dipegang atlet Iraq, Rasool Mohsin 227kg yang dilakukan ketika di Rio de Janeiro.

Sebagai rekod, ini adalah kali pertama sukan badminton dipertandingan di Sukan Paralimpik.

Dengan kejayaan itu, Liek Hou yang dibimbing Datuk Rashid Sidek akan menerima ganjaran sebanyak RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi kejayaan memenangi emas Paralimpik dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.