KPM Baik Pulih Sekolah Terjejas Banjir di Yan

15

4 SEPT: Sebanyak RM2.4 juta diperuntukkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tujuan pembaikan empat buah sekolah yang terjejas teruk, akibat bencana kepala air di Yan, Kedah pada 18 Ogos lalu.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan, Sekolah Kebangsaan (SK) Langkasuka, SK Nyak Gam dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) York Khoon.

“Saya telah melawat dan meneliti keadaan empat sekolah yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda daerah Yan pada 18 Ogos lepas. Setelah diberikan penerangan oleh pihak berwajib, saya mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.4 juta bagi tujuan pembaikan sekolah-sekolah terbabit.

“Antara kerosakan yang dikenal pasti dan perlu diperbaiki atau diganti dengan segera ialah pagar, tandas, bilik darjah, kerusi dan meja murid, perabot serta peralatan sekolah,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini. 

Dalam pada itu, Radzi memaklumkan beliau telah mengarahkan Jabatan Pelajaran Kedah untuk segera membaik pulih kerosakan dan membuat penggantian aset yang terjejas, kesan daripada bencana alam itu.

“Penyaluran peruntukan akan dibuat secara berperingkat kepada jabatan dengan memberi keutamaan kepada sekolah menengah yang akan dibuka untuk sesi pembelajaran secara bersemuka dalam masa terdekat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.