Air Selangor mulakan rawatan di LRA Sungai Semenyih

31

4 SEPT: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) hari ini memulakan proses rawatan air akibat pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihenti tugas semalam.

Ia bagi menghasilkan air terawat yang bersih dan selamat sebelum diagihkan kepada pengguna.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri, berkata langkah itu penting selepas bacaan tahap sifar TON (ukuran kadar bau) sebanyak tiga kali berturut-turut direkodkan di Sungai Semenyih pada 6 pagi tadi.

Beliau berkata, berikutan henti tugas LRA Sg Semenyih, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Sebanyak 94 lori tangki air digerakkan ke kawasan yang terjejas serta premis kritikal sepanjang gangguan bekalan. Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden itu dari semasa ke semasa menerusi semua medium.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.