Polis ambil keterangan pemimpin ajaran PYMT

132

3 SEPT : Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil keterangan seorang wanita bergelar Sittah Annur yang dikaitkan dengan ajaran didakwa bertentangan dengan Islam, Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), semalam.

Menurut sumber seperti yang dilaporkan Bernama, sepasukan polis mengambil keterangan Sittah Annur di rumahnya di Selangor.

“Selain Sittah Annur, suami bersama pengikut rapat wanita itu turut dirakam percakapan bagi meneliti pelbagai dakwaan yang dibuat.

“Namun, tindakan Sittah Annur didakwa menimbulkan kegusaran umum serta mengganggu-gugat ketenteraman awam, dan boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang berkaitan,” katanya. 

Setakat ini, sumber Bernama memaklumkan, perhubungan wanita itu dengan pengikutnya dipercayai adalah secara maya (melalui media sosial) tanpa pertemuan bersemuka.

Menurut beliau, polis juga telah mengenal pasti identiti sebenar Sittah Annur dan sedang memantau pergerakannya.

Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai seorang wanita bergelar Sittah Annur dikaitkan dengan PMYT dan mendakwa akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah serta memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

Wanita itu juga mendakwa dirinya memiliki keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa akan berlaku pada masa depan.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, dilaporkan berkata isu serta kegiatan wanita itu masih dalam kawalan, dan PDRM tidak boleh terburu-buru bertindak kerana perlu mengumpul maklumat lengkap dalam siasatan dengan turut membabitkan jabatan lain, termasuk jabatan agama Islam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.