Pindaan perlembagaan mampu tangani budaya lompat parti

5

3 SEPT : Lompat parti tidak sesuai dikategorikan sebagai kesalahan pilihan raya yang boleh menjadikan anggota Dewan Rakyat hilang kerusi kerana ia berlaku di luar proses pilihan raya.

Justeru, pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata,  cara terbaik untuk menangani budaya lompat parti ialah melalui pindaan Perlembagaan.

“Seseorang wakil rakyat yang memakai simbol dacing milik Barisan Nasional (BN) misalnya, perlu kekal menyokong BN dan tidak boleh keluar dari BN atau mengundi di Dewan Rakyat bertentangan dengan kehendak BN. 

“Jika dia gagal mematuhinya, maka kerusi dia dianggap dikosongkan dan perlu diganti melalui pilihan raya kecil. Atas sebab inilah saya mencadangkan agar dimasukkan peruntukan berikut melalui pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan seperti yang dilampirkan. 

“Moga usaha menangani budaya lompat parti dapat dilaksanakan dengan cepat dan menggunakan cara yang tepat demi mengukuhkan kestabilan politik negara,” “katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Dalam pada itu, Muhammad Fathi berkata, berdasarkan logik, seseorang wakil rakyat tidak wajar dihukum semata-mata kerana bertukar persatuan sebagaimana yang diketahui parti-parti politik sekarang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 sebagai satu entiti pertubuhan atau persatuan, sebagaimana pertubuhan-pertubuhan lain.

“Tambahan pula keanggotaan ahli Parlimen diperuntukkan melalui Perlembagaan. Agak ganjil jika keanggotaannya boleh dibatalkan hanya melalui akta biasa.

“Sebenarnya Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan sendiri mempunyai peruntukan berkaitan kehilangan kelayakan seseorang ahli Parlimen, iaitu antaranya kerana faktor menjadi warga negara asing, disabitkan kesalahan jenayah, menjadi gila, bankrap dan seumpamanya,” katanya. 

Jika akta lompat parti diperkenalkan maka ia juga terdedah kepada risiko dibatalkan oleh mahkamah atas alasan kebebasan berpersatuan, terutamanya jika ia dibuat berasaskan keahlian parti.

Sementara itu, Muhammad Fathi berkata, cadangan mewujudkan akta khas untuk menghalang lompat parti berkemungkinan besar akan diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah disebabkan kedudukan akta lebih rendah daripada Perlembagaan Persekutuan dan negeri.

Beliau yang juga Pensyarah perundangan dan perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, jika akta itu diperkenalkan maka ia juga terdedah kepada risiko dibatalkan oleh mahkamah atas alasan kebebasan berpersatuan, terutamanya jika ia dibuat berasaskan keahlian parti.

“Mahkamah pernah mengisytiharkan peraturan yang menghalang lompat parti di dalam Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

“Pada tahun 1991, Perkara 31A telah ditambah di Kelantan bagi menetapkan bahawa jika mana-mana ahli Dewan Negeri yang keluar daripada parti politiknya, dia hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Negeri dan kerusinya hendaklah menjadi kosong,” katanya. 

Beliau berkata, ketika itu terdapat dua ADUN dari Parti Semangat 46 iaitu Nordin Saleh dan Wan Najib Wan Mohamad telah lompat menyertai UMNO sebelum jawatan mereka dilucutkan dan selepas Pilihan raya kecil dilaksanakan dan mereka bertanding menjadi calon UMNO namun kalah kepada calon Semangat 46.

“Tetapi, mereka mencabar di mahkamah dan akhirnya keputusan menyebelahi mereka berdua dan memutuskan bahawa Perkara 31A Perlembagaan Kelantan itu adalah terbatal kerana bercanggah dengan kebebasan berpersatuan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.