Orang Asli Temuan Selangor Perlu Pembelaan

25

Baru-baru ini kerajaan negeri Selangor telah meluluskan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) sebanyak 54% sehingga menyusutkan jumlah keseluruhan hutan simpan di negeri tersebut ke paras 31% sahaja iaitu hampir tahap maksimum terendah 30% yang ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan DYMM Sultan Selangor.

Pelbagai alasan telah dikemukakan oleh pihak Menteri Besar Selangor bagi menjustifikasi keputusannya menyahwartakan khazanah alam tersebut.

Kononnya kerajaan Selangor telah meluluskan 581.48 hektar kawasan gantian Hutan Simpan Kekal bagi menebus kawasan HSKLU yang telah “dikorbankan” oleh penyahwartaan sebagai hutan simpan. Persamaan biodiversiti juga dijadikan alasan untuk penggantian tersebut.

Namun apa yang tidak ditekankan ialah keluhan serta pendapat majoriti warga Orang Asli suku Temuan sebagai PRIBUMI di kawasan hutan simpan tersebut sejak 120 tahun dahulu. Di manakah suara mereka dalam soal ini?

Kenapa tiada wakil Orang Asli turut menjadi rujukan serta jurucakap kepada pihak kerajaan Selangor? Anehnya hal ehwal Orang Asli di negeri tersebut dipengerusikan oleh watak yang bukan pribumi. Bagaimanakah dirinya mampu menyelami suara hati pribumi seperti Orang Asli tersebut?

Lebih kurang 2000 jiwa Orang Asli suku Temuan yang hidup berdampingan dengan kawasan HSKLU tersebut. Mereka menganggap hutan tersebut adalah warisan nenek moyang mereka, tanah adat serta tempat mereka mencari rezeki hasil-hasil hutan.

Kita tidak mahu kelak Orang Asli ini mendakwa warga Malaysia khususnya saudara-saudara Bumiputera yang lain tidak mengendahkan nasib mereka. Dikhuatiri nanti akan ada yang memprovokasi perpecahan dengan niat kepentingan politik puak-puak tertentu.

Jangan sesekali memandang rendah suara Orang Asli di sesuatu tempat. Mereka mungkin lebih mengenali alam semulajadi berbanding kita yang hidup di bandar-bandar.

Mereka faham betapa pentingnya keseimbangan ekosistem wajar dilindungi kerana ia memberi kesan kepada komposisi gas udara, sumber air bersih, mengurangkan suhu panas hingga mampu menangani perubahan iklim secara keseluruhannya. Sebarang niat ke arah pembangunan dan kemajuan negara wajar diseimbangkan dengan keperluan spiritual dan hak alam.

Selangor adalah negeri termaju di Malaysia yang tidak lekang dengan isu pencemaran sungai, banjir kilat, tanah runtuh, dan kejadian ribut yang makin kerap terjadi.

Tidak cukupkah lagi segala binaan infrastruktur dan kawasan industri di negeri ini?  Adakah dengan segala kemajuan fizikal ini maka majoriti warga pribumi di negeri Selangor termasuk Orang Asli juga turut menikmati segala pemodenan ini selaku etnik yang maju dan berdaya saing?

Mengorbankan tanah dan menafikan suara kaum pribumi seperti Orang Asli ini kelak boleh menimbulkan masalah sosio-politik dan sosio-ekonomi dalam jangka panjang. Wang tidak mampu menggantikan semua perkara di dunia ini.

Sebagai salah seorang warga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) saya tidak berniat mahu mempolitikkan isu ini. Cukuplah satu demi satu warisan alam kita dikorbankan atas nama kapitalisme. Ini isu yang patut diperjuangkan semua pihak yang cintakan Bumi dan kehidupan sederhana menghormati pemberian Tuhan bernama hutan ini.

YANG ADA HATI,

Dr. Muhammad Faiz Bin Na’aman
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
2 September 2021

Get real time updates directly on you device, subscribe now.