Dakwaan tolak 15 usul ganti Speaker Dewan Rakyat tidak benar

49

2 SEPT : Laporan media yang mendakwa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengetepikan dan menolak 15 usul yang mahu Speaker Dewan Rakyat ditukar adalah tidak benar. 

Azhar menerusi kenyataan memaklumkan berita yang disiarkan itu adalah bersifat pembohongan dan fitnah yang dibuat dengan niat untuk menjatuhkan reputasi dirinya. 

Beliau berkata, pejabatnya telah menerima pemberitahuan usul-usul untuk beliau mengosongkan jawatan tersebut supaya individu lain boleh dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Sebaik sahaja pejabat saya menerima usul-usul tersebut, saya telah utuskan surat kepada kesemua pengusul bahawa saya tidak akan sama-sekali membuat apa-apa keputusan mengenai semua usul tersebut kerana saya mempunyai percanggahan kepentingan (“conflict of interest”). 

“Apa-apa keputusan mengenai usul-usul tersebut diserahkan kepada Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon,” katanya. 

Terdahulu, Utusan Malaysia yang menggunakan sumber mereka melaporkan  sekurang-kurangnya 15 usul dikemukakan ahli Dewan Rakyat yang mahu Speaker Dewan Rakyat ditukar, tetapi semuanya ditolak.

Bagaimanapun, sumber memberitahu Utusan Malaysia, Azhar mengetepikan usul berkenaan daripada dibahas pada sidang Dewan Rakyat yang dijadual semula bermula 13 September hingga 12 Oktober.

Justeru, Azhar menegaskan beliau tidak pernah mengambil bahagian dalam apa cara sekalipun atau campur tangan di dalam apa-apa keputusan mengenai usul-usul tersebut. 

“Malah saya tidak tahu menahu mengenai apa-apa keputusan yang mungkin telah dibuat oleh Timbalan Yang di-Pertua mengenai usul-usul tersebut. 

“Laporan Utusan Malaysia yang mengatakan, antara lainnya, bahawa saya telah “mengetepikan usul berkenaan daripada dibahas” dan juga yang mempunyai unsur inuendo bahawa usul-usul tersebut ditolak oleh saya adalah tidak benar. 

“Saya akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai perkara ini dalam masa yang terdekat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.