7 kawasan di Sabah, Pahang kena PKPD Sabtu ini

16

2 SEPT: Tujuh lokaliti di Pahang dan Sabah bakal dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai Sabtu ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, berkata keputusan melaksanakan PKPD itu selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan di tujuh lokaliti terbabit.

Rodzi berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Di Sabah PKPD akan dikuatkuasakan di dua lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Taman Keramat dan Angkasa Apartment, manakala PKPD di Pahang membabitkan tiga perkampungan Orang Asli di Temerloh iaitu Kampung Kuala Terbol, Kampung Pian dan Kampung Lubok Wong.

“Pelaksanaan PKPD di Pahang turut meliputi Penjara Penor dan Rumah Kongsi Pinggiran Goh di Kuantan serta Sempalit, Mukim Gali di Raub,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Sidang Khas MKN juga memutuskan untuk melanjutkan PKPD dua perkampungan Orang Asli Pos Blau  iaitu Kampung Batang dan Kampung Blau, di Gua Musang, Kelantan.

Beliau berkata turut dilanjutkan ialah PKPD di Kompleks Penjara Bentong, termasuk kuarters penjara berkenaan selepas meneliti analisa KKM mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan di lokaliti itu.

“Tempoh PKPD di tiga lokaliti ini yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan dua minggu lagi bermula Sabtu ini hingga 17 September depan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.